Kenyataan MB Perak dibincang dalam Majlis Presiden PH

Syed Saddiq
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan kontroversi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap DAP seperti didedahkan menerusi sebuah klip video akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Majlis Presiden PH akan menuntut permohonan maaf daripada Pengerusi Bersatu Perak itu susulan tersebarnya klip video tersebut.

"Perkara ini akan dibincangkan dan diteliti dalam Majlis Presiden PH dan saya juga merupakan seorang ahli," katanya pada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia 2019 di Bank Negara Malaysia (BNM) di sini.

Menurut Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan, beliau juga turut bersetuju dengan pandangan veteran DAP, Lim Kit Siang yang mahukan tumpuan terlebih dahulu diberikan terhadap kelancaran kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai berbanding membicarakan mengenai isu kontroversi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video MB Perak cetus tanda tanya

MB Perak nafi ada masalah dengan DAP

Ahmad Faizal perlu mohon maaf: DAP

Klip video yang tular sejak pagi semalam itu mencetuskan tanda tanya apabila Ahmad Faizal mendedahkan beliau terpaksa berlawan dengan DAP di Perak.

Menerusi rakaman video itu, Ahmad Faizal berkata, usaha yang dilakukan untuk mempertahankan tanah masyarakat Melayu dan agama Islam dilakukan berseorangan dengan bantuan rakan-rakan dalam UMNO.

Walau bagaimanapun, menteri besar itu dalam satu kenyataan selepas itu menafikan beliau bermasalah dengan DAP di Perak.

Beliau yang bercakap kepada portal berita Free Malaysia Today berkata, kenyataannya di dalam video yang tular hari ini dipetik di luar konteks.

Katanya, video itu hanya memetik sebahagian kata-katanya dan bukan keseluruhan perbualan.

Sehubungan itu, DAP Perak menggesa Ahmad Faizal membuat permohonan maaf secara terbuka.