11 pusat tahfiz di Melaka belum berdaftar

Adly (tengah) ketika mengetuai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1441H/ 2019M Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah di sini hari ini.
Adly (tengah) ketika mengetuai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1441H/ 2019M Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menggesa pusat tahfiz di negeri ini yang tidak berdaftar membuat pendaftaran segera dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, tindakan itu penting bagi memastikan institusi tahfiz di negeri ini beroperasi mengikut silibus JAIM.

Menurutnya, setakat ini terdapat 11 pusat tahfiz yang masih belum berdaftar di negeri ini.

"Pusat tahfiz perlu berdaftar bagi memudahkan JAIM membuat pemantauan dan sekiranya melanggar syarat yang ditetapkan RoS ( Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) berhak menutup pusat tahfiz berkenaan.

"Seperti mana tindakan JAIM yang membatalkan operasi sebuah tahfiz di Sebatu, Merlimau sebelum ini kerana didakwa beroperasi tanpa mengikut syarat ditetapkan bagaimanapun JAIM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap pusat tahfiz itu," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1441H/ 2019M Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan, Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abd Wahab, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Omar Jaafar, Mufti negeri, Datuk Halim Tawil dan Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat.

Lebih 5000 orang daripada 91 kontinjen perarakan yang terdiri dalam kalangan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan itu.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai sebuah pondok madrasah yang tidak berdaftar di sini, ibarat 'penunggang agama' apabila sanggup menggunakan agama bagi mengutip derma orang ramai.

Lebih menyedihkan, madrasah yang telah bertahun wujud di tepi jalan itu mampu meraih kutipan derma hingga RM1.8 juta sebulan walaupun surat pembatalan pusat pendidikan telah diberikan oleh JAIM pada 14 Oktober lalu.

Sumber berkata, difahamkan sekolah pondok yang berdaftar atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mempunyai 1,500 tabung yang mampu mengutip antara RM100 hingga RM200 sebulan menjadikan jumlah pendapatan sehingga RM300,000.

Sementara itu, Md Azhan berkata, tindakan pembatalan ROS itu dibuat setelah peringatan dan amaran telah diberikan namun pihak pengurusan tahfiz terbabit didapati masih lagi meletakkan tabung-tabung di beberapa lokasi tumpuan awam.

Menurutnya, penguatkuasa JAIM juga telah beberapa kali turun ke tahfiz itu dan pemeriksaan mendapati tiada lagi pelajar-pelajar yang ditempatkan di situ dan difahamkan pelajar berkenaan dihantar ke beberapa buah cawangan tahfiz di tempat lain sama ada di Jasin Bestari dan Padang Temu.

"Bagaimanapun mengenai dakwaan wujudnya ajaran yang menyeleweng di tahfiz tersebut, kita masih lagi jalankan siasatan termasuk seorang ustaz yang dipanggil 'kiai' di tahfiz berkenaan," katanya.