Nak pinjam RM30,000 tapi diminta bayar dulu RM55,880

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

RAUB - Seorang pembantu kedai kerugian RM36,380 apabila terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 28 tahun ingin membuat pinjaman wang RM30,000 selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki 1 November lalu.

"Mangsa menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan sebaik sahaja bersetuju membuat pinjaman itu suspek memintanya membayar wang deposit bagi proses pinjaman terbabit dan mangsa bersetuju dengan permintaan itu.

"Saya difahamkan pada keesokan harinya mangsa memasukkan wang sebanyak RM1,500 ke dalam akuan CIMB milik sebelum dia memasukkan RM4,380 pula dua hari kemudian bagi tujuan proses insurans.

"Pada hari yang sama kira-kira jam 7 petang, mangsa mendapati ada kemasukan wang RM2,500 ke dalam akuan miliknya selepas pembayaran insurans dibuat olehnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada 5 November lalu mangsa sekali menerima panggilan telefon daripada suspek kedua meminta wang RM1,300 bagi tujuan memproses pinjaman dan mangsa menuruti permintaan tersebut.

"Pada keesokan harinya, suspek meminta dia memasukkan wang sebanyak RM10,000 dan sekali lagi mangsa berbuat demikian. Selepas itu, mangsa mendapati ada kemasukan wang sebanyak RM2,000 ke akaunnya sebagai pinjaman.

"Pada 7 November mangsa diminta untuk bayar lagi RM10,000 dan kira-kira jam 2.30 petang hari sama, suspek minta mangsa bayar RM20,000 kerana mahu membatalkan pinjaman tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menyemak akuannya mendapati kemasukan wang sebanyak RM11,000 ke akaun miliknya

"Mangsa membayar sebanyak RM55,880 kepada suspek dan menerima kembali sebahagian wang itu daripada suspek. Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub selepas merasakan dirinya diperdaya.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah menawarkan pinjaman kepada mangsa dan memaksa mangsa membayar wang untuk dapatkan pinjaman hingga mangsa mengalami kerugian.

Katanya, rakaman percakapan mangsa sudah diambil dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.