Pelajar tahfiz maut: NGO Antarabangsa zahir rasa sedih

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican menzahirkan rasa sedih susulan insiden seorang pelajar tahfiz, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7 yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul.

Beliau yang sangat kecewa dengan kejadian itu memberitahu, sikap pelajar senior sekolah tahfiz yang beroperasi di Lanchang, Pahang itu yang membuli pelajar lebih muda tidak sepatutnya berlaku.

"Sepatutnya mereka menjadi lambang perpaduan, keharmonian dan nilai-nilai murni yang ada pada pelajar, guru serta imej sekolah tahfiz tersebut.

"Sikap segelintir pelajar harus dihukum dengan berat kerana berlaku kejam kepada sesama pelajar. Malah apa yang berlaku ini, wajar dijadikan pengajaran berguna kepada semua pusat pengajian berasrama juga universiti," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Sinar Harian.

Terdahulu akhbar ini melaporkan mangsa berkenaan ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan lebam pada badan oleh warden asrama pusat tahfiz pada jam 1 petang sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan.

Mangsa yang dilaporkan mula belajar di pusat tahfiz itu bersama abang tiri pada pertengahan Oktober lalu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik itu.

Mustapha berkata, sikap buli membuli harus ditentang keras kerana memudaratkan psikologi mangsa yang dibuli.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul

'Dah lama tak jumpa, tak sangka kali terakhir lihat dia begini'

'Tiada kesan lebam ditemui ketika dia pulang bercuti'

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, pihaknya menahan tiga pelajar pusat tahfiz berkenaan yang masing-masing berusia 13 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu beliau berkata, pusat tahfiz yang mempunyai empat pelajar termasuk mangsa itu didapati tidak mempunyai lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan sudah beroperasi sejak Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Insiden sama turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mahu kes itu disiasat dengan adil bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa selain mengingatkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok berdaftar.

Katanya, ia bagi memudahkan kerajaan serta jabatan agama Islam negeri memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan di pusat berkenaan agar mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.