PH contoh perpaduan ummah sebenar: Mukhriz

Mukhriz menyampaikan amanatnya di PDM Lubok Sawah di Rumah Sa'don Wakijo Batu 4 Kampung Sawah, Pontian malam ini.
 - Foto Bernama
A
A

PONTIAN - Gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) adalah contoh perpaduan ummah sebenar yang sudah lama dilaksanakan berbanding Muafakat Nasional.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, inisiatif perpaduan ummah dilaung-laungkan Barisan Nasional (BN)-Pas melalui Muafakat Nasional sebenarnya sudah lama dilakukan PH, cuma baru sekarang difikirkan parti pembangkang.

Menurutnya, rakyat perlu melihat bagaimana empat parti merangkumi Bersatu, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) berurusan dan berbincang sesama mereka untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

"Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku. Tiada siapa boleh rancang, tiga tahun manakan mungkin duduk semeja?

"Inilah disebutkan perpaduan ummah sebenar. Perpaduan ummah kami sudah buat lama, dia (BN) baru hendak terfikir," katanya sewaktu menyampaikan ceramah berkelompok PH di Kampung Sawah, Pekan Nanas, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon PH, Karmaine Sardini.

Mukhriz berkata, konsep perpaduan ummah gabungan PH sudah diwujudkan sebelum kemenangan parti pakatan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, gabungan itu diwujudkan susulan rasa kecewa bekas pemimpin Pas dan UMNO yang terjalin bagi memerangi salah laku rasuah, pecah amanah dan skandal penyelewengan duit rakyat.

Sementara itu, Mukhriz menggesa pengundi Parlimen Tanjung Piai mengekalkan formula mengundi wakil rakyat mewakili parti pemerintah untuk menikmati limpahan pembangunan negara.

Katanya, prestasi perkhidmatan baik kedua-dua bekas wakil rakyat yang berkhidmat pada zaman BN dan PH disebabkan mereka mewakili kerajaan memerintah di peringkat negeri dan Pusat.

"Justeru bukan masa pengundi di sini pilih wakil rakyat pembangkang yang tidak boleh buat apa pun.

"Sebaliknya kekalkan formula memenangkan wakil rakyat PH yang mewakili parti memerintah kerana dia akan mudah berurusan dengan kerajaan negeri dan Pusat," katanya.