Karmaine dakwa UMNO dipergunakan

Karmaine membonceng motosikal ketika berkempen di Kampung Tengah Dua, Pontian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PONTIAN - Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini menyifatkan UMNO dipergunakan calon MCA untuk berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sepanjang berkempen di kawasan keramaian hanya pihak UMNO yang bersemangat berkempen untuk MCA, sedangkan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sering tidak kelihatan.

“Yang saya selalu tengok jentera Barisan Nasional (BN) apabila berkempen, tiada calon dia datang. Cuma yang datang dan bekerja orang-orang UMNO.

“Kalau program masuk rumah itu saya tidak tahu tetapi saya nampak di pasar lambak atau pasar malam memang orang UMNO sahaja banyak berkempen.

“Nampak UMNO dengan Pas sahaja yang pulun, belum nampak jentera MCA bekerja untuk calon,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Surau Kampung Tengah 2, Teluk Kerang di sini hari ini.

Karmaine berkata, beliau turut bersetuju dengan pendapat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pengundi Cina akan kekal mengundi PH biarpun mereka tidak gembira dengan keadaan ekonomi semasa.

Beliau turut mengakui perkara itu merupakan cabaran untuk mengekalkan kerusi ditinggalkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Bagaimanapun, di lokasi saya temui pengundi Cina terutama kedai kopi, cerita pengundi Cina hendak tinggal PH tidak wujud,” katanya.

Mengenai perjalanan kempen PRK, Karmaine mengakui hanya mampu tidur tiga jam dan mula keletihan.

“Satu perkara menarik ialah ramai bekas anak murid saya kembali menemui dan menyokong hasrat saya bertanding di kampung halaman.

“Berdasarkan pertemuan saya dengan ramai pengundi meliputi keseluruhan 27 peti undi, saya teruja pengundi Melayu semakin menerima saya dan yakin mampu memenangkan parti," katanya.