Tajikistan anggap aksi menentang Harimau Malaya penting

Usmon (dua dari kiri) dan Nazarov ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media hari ini. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
Usmon (dua dari kiri) dan Nazarov ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media hari ini. - Foto Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PASUKAN ranking ke-116 dunia, Tajikistan tetap menganggap aksi menentang skuad Harimau Malaya itu sebagai perlawanan penting biarpun sekadar aksi persahabatan.

Ketua Jurulatih Tajikistan, Usmon Toshev berkata, beliau mahu menjadikan aksi menentang skuad kendalian Tan Cheng Hoe berkenaan sebagai medan untuk menilai prestasi setiap pemain.

"Saya harap esok akan menjadi perlawanan penting dan pastinya menarik. Kita akan berdepan Myanmar nanti selain membolehkan saya menilai gaya permainan.

"Pandangan saya, skuad Malaysia semakin meningkat baik dengan kualiti yang ada pada mereka..mereka laju," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjelang aksi perlawanan persahabatan Malaysia menentang Tajikistan.

Mengulas mengenai skuad bimbingan Cheng Hoe, Usmon berkata, beliau mengikuti setiap perlawanan Malaysia termasuklah aksi menentang Vietnam tempoh hari.

Tambahnya, beliau memberi jaminan pemain-pemainnya akan memberikan aksi terbaik dalam mengekang asakan pasukan tuan rumah berdasarkan prestasi dipamerkan skuad negara pada ketika ini.

"Malaysia adalah sebuah pasukan kuat dan kami akan lawan sehabis baik. Kita akan cuba tampilkan aksi terbaik pada perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Nazarov Akhtam turut melaungkan keyakinan pasukannya sudah bersedia dalam segala aspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setiap pemain sudah membuat yang terbaik semasa latihan untuk memastikan keputusan positif buat pasukan.

"Saya jangkakan esok (hari ini) akan menjadi pertembungan yang menarik. Kualiti yang ada pada pemain Malaysia sangat baik, itu juga akan menjadikan pasukan kami lebih baik," katanya.

Perlawanan persahabatan ini juga sebahagian persiapan awal Tajikistan sebelum menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Myanmar dan Kygryzstan pada minggu depan.

Selepas aksi menentang Harimau Malaya, mereka akan terus terbang ke Mandalay, Myanmar pada 10 November dan kemudian ke Bishkek untuk menentang Kyrgyzstan untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tajikistan kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan F dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dalam tiga perlawanan yang diharungi.

Tajikistan telah menyenaraikan 23 pemain mereka termasuk seorang pemain pertahanan yang beraksi dengan kelab Liga 1 Indonesia, Tira Persikabo iaitu Kurshed Beknazarov.