'Tengkuk, kaki dia sejuk'

Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A

TEMERLOH - Tengkuk dan kaki murid tahfiz mati dipercayai dipukul dikatakan sudah sejuk ketika dia ditemui semalam oleh warden asrama sebuah pusat tahfiz di Lancang di sini.

Warden terbabit, Siti Nor Asilah Samsuri, 39, berkata, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam pada badan itu ditemui selepas menjenguk bilik mangsa.

"Saya jenguk ke bilik selepas tiga pelajar yang lain sudah pergi ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Zohor. Tengkuk dan kaki dia sejuk serta terbaring dalam keadaan tidak bermaya di bilik asrama ketika saya temuinya.

"Saya bersama suami bergegas membawanya ke klinik sebelum 10 minit kemudiannya dia disahkan meninggal dunia dan memang tak sedar ada kesan lembam di badannya," katanya.

Siti Nor Asilah berkata, dia tidak pernah mendengar insiden pergaduhan membabitkan empat pelajarnya di pusat tahfiz terbabit.

Suasana hiba di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh hari ini.
Suasana hiba di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh hari ini.

"Selama ini mangsa seorang yang ceria dan tidak pernah mengadu dipukul. Dia balik bercuti di rumahnya selama empat hari sebelum balik semula ke asrama Ahad lalu," katanya.

Terdahulu media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, mangsa yang ditemui warden berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul

Mangsa yang dihantar ke pusat tahfiz tidak berdaftar itu bersama abang tirinya sejak pertengahan Oktober lalu.

"Tangkapan dibuat ke atas tiga pelajar lain yang berusia 13 tahun bagi tujuan siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.