Pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama isu berulang

Hilman (tiga dari kanan) meninjau lokasi tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama yang mula dibersihkan petang tadi.
Hilman (tiga dari kanan) meninjau lokasi tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama yang mula dibersihkan petang tadi.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan negeri mampu mengeluarkan peruntukan besar untuk melakukan pembersihan namun hanya sia-sia jika pengguna tiada kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, sebagai merujuk isu penularan berita tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama di media sosial sejak kelmarin yang disifatkan antara cabaran dihadapi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Muhammad Hilman berkata, isu sampah haram di Jalan Gombak Lama itu adalah masalah berulang kerana lokasinya berada di sempadan antara Selangor dan Pahang.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 10 'hotspot' menjadi tempat pembuangan sampah haram di sepanjang 26 kilometer Jalan Gombak Lama.

"Ini bukan kali pertama berlaku dan pihak berkuasa telah beberapa kali mengambil tindakan selain mengeluarkan peruntukan yang besar untuk kerja pembersihan namun isu sama masih berulang.

"Pihak tidak bertanggungjawab ini menjadikan Jalan Gombak Lama sebagai tapak pembuangan sampah kerana ia bukan laluan utama, tiada penempatan dan kurang pencahayaan," katanya ketika meninjau tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama hari ini.

Papan tanda menunjukkan kawasan riadah berbasikal dicemari oleh sampah haram yang berbukit di Jalan Gombak Lama iaitu sempadan antara Selangor dan Pahang.
Papan tanda menunjukkan kawasan riadah berbasikal dicemari oleh sampah haram yang berbukit di Jalan Gombak Lama iaitu sempadan antara Selangor dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Hutan Gombak dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Gombak Setia akan memulakan kerja- kerja pembersihan yang dijangka mengambil masa kira-kira seminggu.

"Ia disusuli pembinaan penghadang konkrit sebagai menyekat aktiviti sama berulang.

Pada masa sama, saya minta JKR tambah pencahayaan (lampu jalan).

"Penguatkuasaan akan diteruskan di samping menambah bilangan papan tanda larangan dan kempen penjagaan alam sekitar dengan harapan lebih ramai masyarakat mengambil peranan memastikan kehijauan hutan ini terus terpelihara," katanya.

Longgokan sampah diangkut masuk ke tong roro untuk dibuang ke tapak pelupusan sampah yang sah.
Longgokan sampah diangkut masuk ke tong roro untuk dibuang ke tapak pelupusan sampah yang sah.

Terdahulu tular gambar keadaan tapak sampah haram di lereng bukit dipenuhi sampah domestik, pukal dan kotak makanan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran.

Susulan itu, lokasi tersebut telah disita di bawah Jabatan Hutan sementara JKR Gombak menyelenggarakan jalan di situ.