Tindakan kompaun langkah tepat: Permat

Laporan Sinar Harian pada 2 November lalu.
Laporan Sinar Harian pada 2 November lalu.
A
A
A

KUANTAN - Tindakan kompaun dikenakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) terhadap premis yang gagal mempamerkan tulisan jawi disifatkan langkah tepat bagi memartabatkan tulisan khat itu.

Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat), Anaz Ab Moris berkata, langkah tersebut sekali gus membuktikan ketegasan MPK dalam isu itu.

"Sebagai pertubuhan anak muda, kami menyokong penuh penggunaan tulisan jawi ini buat generasi baharu yang dilihat semakin hari semakin luntur pemahaman dan erti tulisan ini dalam kalangan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Penguatkuasaan tulisan jawi dilakukan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 13 November tahun lepas bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir.

Dalam pada itu, Anaz berkata, selain tindakan undang-undang yang bertujuan mendidik, penggunaan tulisan jawi perlu diperluaskan di dalam pelbagai bidang.

"ia termasuk di dalam proses dokumentasi kerajaan seperti urusan pentadbiran dalaman dan luaran yang seterusnya menjadikan tulisan ini penting dan bukan hanya untuk tujuan pelajaran agama semata-mata.

"Jadi, ia secara tidak langsung mendidik semua generasi untuk mahir dalam penggunaan tulisan jawi selain pandai membacanya," katanya.

Pada 2 November lalu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda memaklumkan pemilik premis perniagaan yang gagal melaksanakan tulisan jawi pada papan tanda premis dan papan iklan di daerah ini boleh dikompaun sehingga RM250 bagi satu kesalahan bermula tahun depan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Premis gagal pamer tulisan jawi di Kuantan akan dikompaun

Katanya, kompaun itu akan berkuat kuasa selepas proses pendidikan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilaksanakan sejak tahun lalu hingga Disember ini berakhir.