Rakyat Malaysia diselubungi 'digital drug'

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Malaysia diselubungi sindrom “digital drug” apabila dikesan melayari internet secara purata 6.6 jam sehari.

Keadaan itu lebih membimbangkan apabila turut membabitkan golongan remaja yang menghabiskan masa melayari internet sehingga lapan jam sehari.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melayari internet dengan tempoh ekstrem ini boleh mengakibatkan pengguna menjadi ketagih.

Katanya, berdasar hasil kajian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun lalu itu kebanyakan pengguna mengakses internet menggunakan telefon pintar sebanyak 93.1 peratus.

“Tempoh melayari internet lebih enam jam adalah ketagihan atau digital drug yang mampu mengancam kesihatan fizikal dan mental pengguna.

“Pengguna juga terdedah kepada ancaman siber seperti penipuan dalam talian, gangguan siber, kecurian identiti, buli siber, pengaruh media sosial dan spam sehingga mengakibatkan kerugian serta kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutup Program Pencegahan Jenayah Dalam Kalangan Remaja Peringkat Negeri Kelantan 2019 du PCB Resort di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Kelantan, Datuk Abd Aziz Nawi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Abu Hanipah@ Fauzi Zahari.

Artikel Berkaitan:

Lam Thye berkata, bagi mengatasi masalah itu MCPF akan menerbitkan 100,000 naskah buku panduan Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) dalam tempoh terdekat.

Buku ini adalah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat terutama pelajar dan remaja bahawa perlu berhati-hati terhadap penggunaan internet.

“Buku bakal diedarkan kepada murid, pelajar dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.

Tambahnya, situasi ini membimbangkan sekiranya penggunaan internet oleh kanak-kanak dan remaja tidak dipantau oleh ibu bapa kerana mereka akan ketagih.