Basikal lajak dan kreativiti anak muda

Basikal lajak yang diubah suai mengikut kreativiti masing-masing menggunakan barangan terpakai atau terbuang.
Basikal lajak yang diubah suai mengikut kreativiti masing-masing menggunakan barangan terpakai atau terbuang.
A
A
A

BASIKAL lajak kembali menjadi tumpuan berikutan keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan seorang jurujual daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan kanak-kanak yang sedang berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ka Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Saya tidak mahu mengulas keputusan mahkamah itu tetapi mahu menyentuh mengenai kreativiti anak muda sekarang.

Basikal lajak yang sekarang ini menjadi trend, malah menjadi kegilaan segelintir kanak-kanak dan remaja sebenarnya menyerlahkan kreativiti anak muda. Mengapa saya kata begitu? Basikal yang dijual di kedai basikal biasanya dilengkapi ciri-ciri keselamatan tetapi telah diubah suai sehingga 80 peratus.

Basikal yang sempurna diubah suai dengan menanggalkan brek, merendahkan tempat duduk,menukar handle dan memotong sepit udang yang sekali gus membolehkan penunggangnya melakukan aksi ‘Superman’ supaya basikal tersebut meluncur laju di atas jalan raya terutama ketika menuruni bukit.

Bagaimana hendak memberhentikan basikal tersebut sekiranya brek telah dibuang? Mereka menahannya dengan kaki. Sungguh ekstrem.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, basikal bermaksud kenderaan beroda dua yang ditunggang dengan mengayuh pedalnya. Basikal juga sebenarnya adalah kenderaan paling popular.

Basikal dicipta di Eropah oleh Baron Karl von Dresse pada tahun 1817. Rakyat Jerman itu menamakan basikal yang diperbuat daripada kayu itu sebagai Draisienne yang mempunyai tempat duduk dan handle tetapi ia tidak mempunyai pedal atau pengayuh.

Artikel Berkaitan:

Pada masa itu, mereka menggerakkan basikal tersebut dengan cara mengayuh kaki ke jalan, tidak ubah seperti mesin berlari.

Pelbagai pengubahan telah dilakukan bagi memudahkan manusia menunggangnya dan bentuk yang terbaru mengikut perubahan zaman termasuklah basikal lajak. Cuma basikal lajak membahayakan penunggangnya kerana tidak mempunyai brek. Basikal kuno pun tidak ada brek tetapi tidak berbahaya seperti basikal lajak.

Kanak-kanak atau remaja masa kini gemarkan aksi yang mencabar dan aktiviti basikal lajak juga sudah lama wujud. Ubah suai pula dilakukan sendiri di rumah mengikut kreativiti masing-masing menggunakan barangan terpakai atau terbuang.

Daripada kita mengehadkan kreativiti basikal lajak ini dengan mengharamkannya, adalah lebih baik kita mengembangkan kreativiti mereka dengan cara yang lebih positif.

Misalnya dengan mengadakan pertandingan basikal lajak paling menarik, basikal paling kreatif, basikal lajak paling laju dan sebagainya dengan syarat utama mestilah mempunyai brek. Mereka juga dianjurkan berlumba dengan cara yang sihat dalam litar khas yang selamat untuk menguji kehebatan basikal masing-masing.

Kanak-kanak atau remaja yang biasa menggunakan basikal lajak sudah tentu mempunyai kecekapan dalam membuat keputusan. Mereka menggunakan kekuatan stamina dan daya fikir untuk meluncur laju dan bagaimana hendak membelok dan berhenti. Sudah tentu mempunyai keberanian yang tinggi kerana hanya manusia ‘hati kering’ saja yang berani menunggang basikal menuruni bukit tanpa brek.

Apa yang pasti mana-mana aktiviti berbasikal pun pasti memberikan manfaat jika ia diketengahkan dengan baik. Seperti basikal lajak, asalnya basikal itu dah sempurna tetapi diubah suai mengikut trend dan cita rasa individu.

Banyak impak sekiranya aktiviti yang dianggap negatif itu diberi sokongan dengan cara dan tempat yang betul dalam memupuk kreativiti anak-anak muda dan seterusnya mewujudkan suasana yang lebih positif. Mengharamkan basikal lajak hanya akan melahirkan remaja atau anak muda yang memberontak.

Paling penting, ibu bapa mesti memantau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa sewajarnya memberi perhatian kepada anak-anak supaya setiap yang dilakukan dapat dimanfaatkan menjadi perkara yang positif.

Daripada kita mengehadkan kreativiti kanak-kanak atau remaja ini dengan mengharamkan basikal lajak, adalah lebih baik kita mengembangkan kreativiti mereka dengan cara yang lebih positif.”

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Kanan (Cetak) Sinar Harian