Tulisan Jawi: Ramai tunggu hingga tamat tempoh

Antara premis di sekitar bandar Kuantan yang mematuhi arahan kerajaan mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan.
Antara premis di sekitar bandar Kuantan yang mematuhi arahan kerajaan mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan.
A
A
A

KUANTAN - Dianggarkan 70 peratus daripada kira-kira 10,000 premis termasuk pusat membeli-belah di daerah itu belum mematuhi arahan kerajaan yang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan premis.

Kebanyakan mereka dilihat mengambil sikap menunggu sehingga tamat tempoh ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada akhir Disember ini.

Pengerusi Persatuan Pengiklanan Negeri Pahang, Alex Chow Kok Leong berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini bermula Januari hingga akhir Oktober lalu hanya 30 peratus yang telah memasang papan tanda tulisan jawi pada kedai masing-masing.

“Selebihnya, masih mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga tempoh larangan itu berakhir bulan depan dan penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya awal tahun 2020.

"Situasi ini pasti akan menimbulkan keadaan yang tertekan dalam kalangan pengusaha iklan di seluruh Pahang untuk menyiapkan tempahan pelanggan di saat akhir," katanya ketika ditemui hari ini.

Pada 2 November lalu Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda memaklumkan pemilik premis perniagaan yang gagal melaksanakan tulisan jawi pada papan tanda premis dan papan iklan di daerah ini boleh dikompaun sehingga RM250 bagi satu kesalahan bermula tahun depan.

Katanya,kompaun itu akan berkuatkuasa selepas proses pendidikan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilaksanakan sejak tahun lalu hingga Disember ini berakhir.

Penguatkuasaan tulisan jawi dilakukan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah pada tahun lalu bagi memartabatkan semula tulisan itu yang semakin terpinggir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Alex berkata, kini hanya tinggal dua bulan lagi untuk pemilik premis berbuat demikian.

Katanya, beliau bimbang pengusaha iklan tidak dapat menyiapkan sepenuhnya tempahan yang dibuat pada saat akhir sebelum penguatkuasaan dimulakan tahun depan memandangkan untuk menyiapkan papan tanda itu agak mengambil masa dan sangat terhad.

"Pengusaha akan berdepan dengan masalah untuk menyiapkan papan tanda iklan itu sekiranya tempahan tempahan panik pada saat akhir," katanya.

Sementara itu pengusaha periklanan, Abdullah Samad,45, berkata, setakat ini permintaan terhadap pelekat tulisan jawi meningkat berbanding hari- hari biasa.

Menurutnya, permintaan tinggi menyebabkan pengusaha perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan tempahan pelekat pelanggan.

"Satu pelekat untuk disiapkan ambil masa sehingga satu hari tetapi ia bergantung kepada saiz tempahan pelanggan.

"Bila tempahan terlalu banyak ia mungkin ada pelanggan yang terpaksa menunggu lama untuk tempahan mereka," katanya.