Tapak sampah haram: MPS beri notis peringatan kepada Foodpanda

Pita kuning dipasang di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama selepas tular di media sosial.
Pita kuning dipasang di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Gombak Lama selepas tular di media sosial.
A
A
A

GOMBAK - Foodpanda adalah syarikat pertama yang menerima notis amaran daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas penularan laporan tapak sampah haram di Jalan Gombak Lama semalam.

Ia susulan terdapat kotak makanan milik syarikat itu yang berada bersama longgokan sampah haram di tebing jalan menghala Bentong itu.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad berkata, pihak MPS telah meninjau lokasi tersebut yang statusnya di bawah pengurusan Jabatan Hutan sementara jalannya diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, didapati kawasan tersebut telah disita melalui pemasangan pita kuning bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah haram itu berterusan.

"JKR turut maklumkan akan melakukan kerja pembersihan dengan mengorek keluar sampah dari lereng bukit tanah rizab sungai dan jalan.

"Ia disusuli meletakkan batu blok konkrit sebagai penghadang di tebing sungai tersebut yang dipenuhi sampah pukal dan domestik serta kotak penghantaran makanan Foodpanda," katanya.

Katanya, MPS serius terhadap isu tersebut yang melibatkan aspek kebersihan dan alam sekitar.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di kawasan pentadbiran MPS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam sebuah portal berita melaporkan ketidakselesaan penduduk berhampiran Hospital Orang Asli Gombak selepas hutan mereka dijadikan tapak pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Aktiviti itu semakin parah selepas barang penghantaran makanan dibuang ke kawasan tersebut dalam kuantiti yang banyak sehingga menimbulkan kebimbangan bakal memudaratkan alam dan kesihatan penduduk setempat.