Jadikan hukuman aniaya haiwan sebagai pengajaran: Lam Thye


Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghukuman dikenakan atas kesalahan menganiaya haiwan yang dijatuhkan mahkamah semalam seharusnya menjadi pengajaran bagi mengelakkan perbuatan tersebut terus dilakukan pada masa hadapan.

Penaung Persatuan Pencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SCPA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan walaupun mana-mana kes penganiayaan haiwan terlepas kerana perbuatan tidak berperikemanusiaan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan pelakunya perlu dihukum mengikut undang-undang.

“Keputusan (kes) itu merupakan suatu yang amat penting, kerana pesalah itu merupakan orang pertama yang dikenakan hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 sejak mula dikuatkuasakan pada Julai 2017.

“Diharapkan agar keputusan itu akan menggalakkan orang ramai melaporkan lebih banyak kes penganiayaan terhadap haiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye yang juga aktivis masyarakat membuat kenyataan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan denda RM40,000 kepada seorang lelaki selepas dia dalam sebuah video didapati membunuh kucing dipercayai bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga perlu mengambil makluman penghakiman tersebut dan membaiki aspek penguatkuasaan apabila menangkap haiwan terbiar di kawasan mereka.

“Saya percaya, pembunuhan, pengurungan dan menghapuskan haiwan terbiar perlu dilakukan mengikut AWA 2015.

“Mereka yang menganiaya haiwan adalah kejam dan tidak menghormati kehidupan dan saya berharap penghakiman itu akan memberikan keyakinan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membawa lebih banyak kes penganiayaan haiwan ke mahkamah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang warganegara prihatin, B. Krishan Singh, 68, ketika ditemui Bernama berkata, hukuman yang dikenakan terhadap lelaki itu adalah setimpal kerana haiwan juga mempunyai hak untuk hidup dan orang ramai perlu menjadikan insiden ini sebagai iktibar.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki bunuh kucing bunting dalam mesin dobi dijel 34 bulan