X

Kindly register in order to view this article
!

Kecewa Terminal Feri Kukup ditutup, pemandu teksi undi protes

Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian memberi sokongan kepada balon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar di Bandar Pontian hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PONTIAN - Penyertaan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffur,45, mewakili Gabungan Pemandu Teksi SeMalaysia (GPSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah manifestasi bantahan golongan pemandu teksi terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, penutupan sementara Terminal Feri Antarabangsa Kukup oleh kerajaan negeri sejak dua bulan lalu menyebabkan lebih 70 pemandu teksi di sini terjejas.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian, Mahmud Johari, 65, lebih 75 pemandu teksi dan kereta sewa di Bandar Pontian sudah dimaklumkan mengenai penyertaan Faridah Aryani yang menggunakan logo kereta sebelum hari penamaan calon.

Menurutnya, meskipun GPSM menyedari peluang calon mereka untuk memenangi PRK Tanjung Piai hampir mustahil namun mereka tidak kisah kerana paling penting mereka berjaya menyampaikan mesej ketidakpuashatian kepada kerajaan.

"Ya memang betul Faridah Aryani adalah calon mewakili kami. Semua pemandu teksi akan sokong dia sebagai protes kepada kerajaan biarpun kita tahu akan kalah.

"Dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita dijanjikan pelbagai perkara oleh pemimpin kerajaan sekarang.

"Sekarang bila Persatuan Teksi Negeri Johor hantar memorandum kepada mereka, menteri sendiri pun tidak mahu jumpa.

"Gabungan itu menandakan protes terhadap kerajaan negeri. Kalau terus tidak ambil berat, sudah jelas seluruh pemandu teksi seluruh Malaysia akan boikot sehingga PRU15," katanya ketika di Terminal Teksi Pontian di sini hari ini.

Pemandu Teksi memilih membaca akhbar Sinar Harian ketika menunggu penumpang-penumpang di Bandar Pontian hari ini.
Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pemandu Teksi memilih membaca akhbar Sinar Harian ketika menunggu penumpang-penumpang di Bandar Pontian hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Seorang lagi pemandu teksi, Tan Ah Tee,70, berkata, kehidupan lebih 70 pemandu teksi di sini kini semakin terjejas susulan tindakan penutupan sementara Terminal Feri Antarabangsa Kukup oleh kerajaan negeri sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, penutupan sementara terminal itu yang kini dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Nusajaya menyebabkan pendapatan pemandu teksi di sini merosot lebih 90 peratus.

"Dahulu bila kami boleh mendapatkan penumpang yang datang dan pergi ke Terminal Feri Kukup, kami boleh meraih pendapatan lebih RM100 sehari kerana kebanyakan penumpang berasal dari Indonesia.

"Kini bila terminal itu ditutup dan dipindahkan sementara, hendak dapat RM20 pun susah," katanya.

Bagi Tan Tuan Boon,72, kehidupan pemandu teksi kini ibarat 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang'.

"Sebab itu PRK Parlimen Tanjung Piai untuk kami memberi amaran terakhir kepada kerajaan PH supaya lebih prihatin terhadap nasib kami," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus