Anwar akur titah sultan, zakat hanya untuk orang Islam

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan pengamal media ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan pengamal media ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa agihan zakat perlu diberikan hanya kepada orang Islam.

Menurutnya, beliau menyambut baik titah tersebut dan menegaskan ia hanyalah pandangan peribadinya.

“Saya dalam ucapan itu menyatakan Islam ini adalah mengenai keadilan, kasih sayang dan rahmat. Itu pandangan saya supaya benda ini dikaji, diteliti oleh mufti dan majlis agama dan diputuskan.

"Itu saja pandangan saya. Kalau diputuskan tak setuju, tak apa tapi saya menganjurkan wacana yang segar mengenai tajuk ini kerana ada pandangan-pandangan berbeza.

“Kalau keputusan seperti mana dibuat oleh Selangor, kita patuh kerana keputusan dalam bidang kuasa majlis agama dan sultan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau turut menjelaskan cadangannya itu bagi menampakkan imej Islam lebih baik.

“Bahkan dalam ucapan, saya bagi contoh dalam satu kampung, semua orang Islam ada satu rumah Hindu. Apakah kita boleh pertimbangkan untuk melunakkan keadaan, begitu konteks dia tapi saya terima baik, saya cuma nak dalam Islam ini biar kita ada ihsan, ruang untuk meneruskan wacana yang sihat dan segar,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah kutipan zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mualaf dalam kalangan umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, penegasan itu dibuat setelah menerima nasihat daripada Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulubuhum.

Pada 30 Oktober lepas, Anwar mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Beliau berkata demikian pada persidangan zakat anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).