Zii Jia mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

PEMAIN badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia hari ini berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China di Fuzhou, China.

Beliau bagaimanapun terpaksa berhempas-pulas untuk menundukkan pemain Singapura Loh Kean Yew dengan 19-21, 21-18 dan 21-12, dalam perlawanan pembukaan yang berlarutan selama 65 minit di gelanggang Haixia Olympic Sports Center, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Liew Daren, bagaimanapun tersingkir daripada kejohanan itu selepas beliau tidak dapat meneruskan set kedua dalam perlawanan menentang pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun disebabkan kecederaan. Momota meraih kemenangan 21-17 dalam set pembukaan.

Pasangan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut berjaya mara ke pusingan kedua dengan menumpaskan pasangan dari Taiwan Lee Yang-Yang Ching Tun; 21-10 dan 21-16.

Dalam saingan beregu lelaki pula dua pasangan regu Malaysia tersingkir daripada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$700,000 (RM2.892 juta) itu.

Bekas pasangan badminton beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong ditewaskan oleh beregu nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia; dengan 15-21 dan 16-21, manakala pasangan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ditewaskan pasangan dari Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan 17-21 dan 10-21.

Pasangan beregu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun-Yap Cheng Wen juga tersingkir dari kejohanan selepas ditewaskan pasangan dari China Dong Wen Jing-Feng Xue Ying; dengan 15-21 dan 9-21. - Bernama

Artikel Berkaitan: