X

Kindly register in order to view this article
!

Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa P.Pinang tetap diteruskan

Guan Eng - Foto fail
A
A

GEORGETOWN - Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan tetap diteruskan walaupun kerajaan menerima cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di utara tanah air ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembesaran LTAPP kepada kapasiti maksimum 20 juta penumpang akan diteruskan tanpa mengambil kira faktor sampingan seperti cadangan pembinaan lapangan terbang baharu berdekatan dengan lapangan terbang tersebut.

Guan Eng (DAP- Air Putih) turut meminta supaya cadangan pembinaan lapangan terbang baharu yang dibuat syarikat swasta melalui kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan dalam memperbesarkan LTAPP yang kini mencecah kapasiti maksima.

"Melalui PFI ini, memang siapa sahaja boleh buat cadangan namun dari segi teknikal dan kewangan, ia perlu munasabah. Dari segi kewajaran dan kebolehlaksanaan, juga perlu dinilai dengan teliti.

"Penelitian perlu dibuat, jangan hanya lihat pada keuntungan sahaja. Kita perlu pastikan infrastruktur asas dapat disediakan dan ini terpulang kepada kebijaksanaan kerajaan. Bagaimanapun, janganlah kerana faktor-faktor lain termasuk PFI, usaha kerajaan untuk membesarkan LTAPP terjejas.

"Kerja pembesaran LTAPP akan tetap dilaksanakan kerana lapangan terbang antarabangsa itu kini amat sesak, sehingga digambarkan seperti pasar malam," katanya ketika sesi perbahasan ucapan Belanjawan 2020 Pulau Pinang di sini tadi.

Tambah beliau, lapangan terbang sedia ada termasuk di Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan persaingan yang bakal wujud sekiranya lapangan terbang baharu dibina.

"PFI mengenai cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) telah diberikan kepada kerajaan negeri dan Pusat. Sekiranya ia boleh dilaksanakan, ia dilihat akan menjadi persaingan kepada lapangan terbang terdekat.

"Mengapa Pulau Pinang nak takut dengan persaingan baharu sekiranya kita ada platform kita sendiri? Mengapa (kita) takut untuk berdaya saing? Persaingan ini dilihat sesuatu yang baik," katanya.

Terdahulu, selain KXP, sebuah akhbar melaporkan terdapat dua syarikat swasta bercadang membina lapangan terbang baharu di dua lokasi berbeza di Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu di tanah besar Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, difahamkan dua buah syarikat swasta menyatakan cadangannya itu kepada kerajaan Persekutuan untuk membina lapangan terbang baharu di Pulau Pinang.

Dipercayai, cadangan pertama yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) itu akan melibatkan pengambilan beribu-ribu hektar tanah kawasan tanaman padi.

Sementara itu, cadangan kedua dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA) melibatkan pengambilan balik 5,000 hektar tanah di kawasan pantai di SPS

Difahamkan, jarak antara dua lapangan terbang baharu itu adalah 10 kilometer.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus