Isu perkauman jadi cabaran PH di Tanjung Piai

Mohamad bersama calon PH, Karmaine Sardini pada Program Forum Kopitiam di Pekan Nanas malam tadi. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamad bersama calon PH, Karmaine Sardini pada Program Forum Kopitiam di Pekan Nanas malam tadi. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - "Orang Melayu rasa kami (Pakatan Harapan) alat DAP, DAP pula rasa jadi alat Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad)."

Demikian luahan Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah), Mohamad Sabu mengenai cabaran dihadapi PH untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai susulan parti itu diserang dengan isu perkauman dan keagamaan oleh parti lawan.

Mohamad berkata, PH masih perlu bekerja kuat untuk mempertahankan kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun berstatus parti kerajaan kali ini.

Menurutnya, isu perkauman masih terlalu banyak dimainkan dan kini ditebalkan lagi oleh pihak pembangkang sepanjang perjalanan kempen PRK.

"Justeru, pengundi jangan terpengaruh dengan isu perkauman...pilih (calon PH) atas dasar kerajaan dikemukakan dan hentikan isu perkauman.

"Kerana isu perkauman dimainkan, kedua-dua kaum (Cina dan Melayu) menjadi renggang. Kita hendak cuba kepada perjuangan memperkenalkan dasar (kerajaan)," katanya kepada media sewaktu menghadiri forum kopitiam bersama calon PH, Karmaine Sardini di Taman Utama, Pekan Nenas hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, PH akan terus turun ke bawah menemui pengundi Parlimen Tanjung Piai bagi menerangkan dasar dan bukan bergerak atas dasar perkauman.

Menurutnya, PH melalui calon Bersatu turut bergerak atas kredibiliti seseorang pemimpin ditonjolkan pakatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pertama sekali dalam sejarah Timbalan Menteri Pertahanan diwakili pemimpin bukan Melayu.

"Ini satu rekod baru yang kita yakin mengambil aspirasi sebagai rakyat Malaysia itu yang kita tekankan. Paling penting, PH tonjolkan kredibiliti calon, bukan isu-isu perkauman," katanya.

Ditanya mengenai gesaan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta beliau 'bekerja' dan tidak asyik berkempen PRK, Mohamad menegaskan sebagai menteri kepada kerajaan PH dan presiden salah satu parti kepada pakatan itu, beliau bebas bergerak ke mana-mana.