Selangor perlu ambil langkah berani cadang peruntukan tambahan

Muhammad Hilman Idham
Muhammad Hilman Idham
A
A
A

SHAH ALAM - Negeri Selangor perlu mengambil langkah berani dengan mencadangkan pertambahan peruntukan pembangunan menerusi belanjawan negeri yang dibentang Jumaat lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan negeri meneladani kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan pertambahan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan pada kadar 4.3 peratus pada tahun hadapan biar pun anggaran perbelanjaan keseluruhan mengalami penurunan sebanyak enam peratus.

Menurutnya, langkah pengurangan belanjawan khususnya belanja pembangunan bakal merancakkan potensi pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Langkah fiscal conservative yang dilaksanakan pada hari ini melalui pengurangan peruntukan belanjawan khususnya belanja pembangunan demi mewujudkan sama ada surplus budget, belanjawan seimbang atau mengurangkan defisit dalam belanjawan bakal merencatkan potensi pertumbuhan ekonomi Selangor.

"Selangor sebagai negeri membangun harus keluar dari belenggu austerity measures yang menyebabkan kegusaran kita untuk berbelanja khususnya bagi tujuan pembangunan," katanya ketika perbahasan Belanjawan Selangor 2020 hari ini.

Dalam pada itu, Hilman turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya meraih jumlah pulangan lebih RM58 juta melalui sumbangan hasil pendapatan anak-anak syarikat milik negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri biarpun hanya mensasarkan pulangan sebanyak RM50 juta pada tahun ini.

Katanya, melalui tekad ini, kerajaan negeri akan menjana perolehan hasil yang lebih tinggi dan turut menjadi langkah proaktif dalam mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan hasil daripada premium tanah.

"Apatah lagi anggaran hasil pendapatan negeri daripada premium tanah memperlihatkan trend penurunan yang ketara daripada 54.2 peratus kepada 44.02 peratus pada tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan: