Duit bukan segalanya JDT berjaya sehingga kini: Alistair Edwards

Edwards terkilan dengan kenyataan sebuah akhbar tempatan dan telah mengeluarkan kenyataan di laman rasmi JDT di Facebook.
Edwards terkilan dengan kenyataan sebuah akhbar tempatan dan telah mengeluarkan kenyataan di laman rasmi JDT di Facebook.
A
A
A

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengecam tindakan sebuah akhbar tempatan yang menggunakan tajuk 'Ada Duit Semua Jadi' sebagai tajuk utama bagi berita sukan yang menyindir kelab bola sepak tersebut bahawa wang adalah faktor keseluruhan kejayaan.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, Alistair Edwards berkata, kejayaan Harimau Selatan adalah hasil daripada pelan menyeluruh dalam memastikan kelangsungan kelab bagi memenuhi sasaran jangka pendek dan jangka panjang.

Menurutnya, memiliki wang tanpa pengetahuan dan kesungguhan untuk berjaya tidak akan menjadikan JDT sebuah empayar dan terkilan dengan kenyataan akhbar terbabit bahawa pemain berpendapatan paling rendah pun mencecah puluhan ribu ringgit.

"Ini adalah tidak benar sama sekali dan dilihat sebagai satu usaha menidakkan segala usaha keras yang dijalankan di JDT. Sememangnya JDT mempunyai kewangan kukuh tetapi adalah 'foolish' untuk memikirkan kuasa wang sahaja cukup untuk membawa kejayaan.

"Pasukan seperti Pahang, Kedah, Selangor dan Felda United telah membelanjakan banyak wang pada tahun-tahun sebelum ini sehingga mencecah RM30-40 juta setahun dan sepanjang 10 tahun, beberapa pasukan juga sudahpun berbelanja hingga RM300-400 juta.

"Namun kebanyakan pasukan ini masih tidak mempunyai kemudahan asas seperti pusat latihan, kelengkapan dan kepakaran untuk membantu perkembangan pemain. Sebaliknya, kebanyakan wang ini digunakan hampir sepenuhnya untuk mendapatkan pemain dalam mengejar kejayaan segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi JDT di Facebook di sini hari ini.

Dalam pada itu Edwards berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap tuduhan melulu yang dilemparkan dalam artikel tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya berharap agar organisasi media perlu lebih bersikap lebih objektif dan tidak berat sebelah dalam mengeluarkan berita.

"Di JDT, kelab telah melabur dalam memastikan fasiliti dan kelengkapan berada pada tahap terbaik dan mempunyai kepakaran dalam membantu pembangunan pemain. Pemain seperti Safawi Rasid, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad telah mempertingkatkan prestasi mereka melalui fasiliti dan sistem sokongan JDT.

"Fasiliti yang sama turut diberikan kepada pemain muda di Akademi JDT dan keputusan yang ditunjukkan adalah bukti apabila JDT memenangi enam kejuaraan junior kebangsaan dari Bawah-12 hingga Bawah-17 sepanjang dua tahun ini," katanya.

,