Pembinaan lapangan terbang Pulau Tioman mula bila-bila masa

Wan Rosdy (tengah) merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Pantai Air Leleh hari ini.
Wan Rosdy (tengah) merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Pantai Air Leleh hari ini.
A
A
A

PEKAN - Pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Rompin boleh dilaksanakan bila-bila masa selepas mendapat kelulusan Kabinet dan kerajaan Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja awal pembinaan projek tersebut di Kampung Tekek kini sudah dimulakan.

Menurutnya, bagaimanapun kos bagi pembinaan projek tersebut masih belum dimuktamadkan lagi buat masa ini.

"Apa yang penting sekarang ini ialah Kabinet dan kerajaan Pahang sudah bersetuju untuk bina lapangan terbang di situ.

"Tanah bagi tujuan itu (pembinaan lapangan terbang) pun sudah ada, cuma bajet pula masih belum diputuskan lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Pantai Air Leleh di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda.

Wan Rosdy berkata, projek pembinaan lapangan terbang itu akan dilaksanakan oleh pihak swasta dengan kerjasama negeri.

Sebelum itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, kerajaan Pahang sudah meluluskan pelaksanaan projek perhutanan semula kawasan terosot di daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan seluas 50,000 hektar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek itu telah ditandatangani pada 15 Oktober lalu dan kawasan itu akan dipulihkan dengan menanam pelbagai spesies pokok hutan.

"Bukan itu saja pada 8 Mei lalu juga Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) juga bersetuju untuk mewartakan kawasan seluas kira-kira 132,212 hektar menjadi hutan tadahan air di bawah fungsi pengelasan hutan perlindungan," katanya.