Bantu selamatkan nyawa Nur Aqilah

Nur Aqilah memerlukan RM80,000 untuk merawat masalah jantung berlubang yang dihadapinya.
Nur Aqilah memerlukan RM80,000 untuk merawat masalah jantung berlubang yang dihadapinya.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi berusia 3 bulan memerlukan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan dan rawatan penyakit jantung berlubang dihidapinya yang berjumlah RM80,000.

Nur Aqilah Syifa Muhammad Ferdaus disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia dua bulan selepas kedua ibu bapanya menyedari bayi berkenaan sering batuk dan mengalami sesak nafas.

Anak kepada pasangan Muhammad Ferdaus Omar, 32, dan Nur Syahila Shahidan, 28, dilahirkan sihat pada 17 Ogos lalu di Hospital Kangar dengan berat 3.43 kilogram.

Namun ujian terpaksa dihadapi oleh pasangan itu apabila doktor memaklumkan anak kedua mereka mempunyai dua lubang pada bahagian jantung selain menghadapi masalah saluran darah sempit.

Nur Syahila berkata, selepas mendapati anaknya mengalami batuk berpanjangan dan sesak nafas sepanjang malam, dia dan suami membawa anak mereka menjalani pemeriksaan di klinik swasta.

Sui Hau (kiri) bersama Muhammad Ferdaus dan Nur Syahila menunjukkan gambar Nur Aqilah yang perlu melakukan pembedahan segera bagi merawat masalah jantung.
Sui Hau (kiri) bersama Muhammad Ferdaus dan Nur Syahila menunjukkan gambar Nur Aqilah yang perlu melakukan pembedahan segera bagi merawat masalah jantung.

"Keadaan anak tidak stabil dan doktor mengesyorkan supaya bayi kami dirujuk ke Hospital Kangar dan ketika sampai dia terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Doktor memaklumkan yang Nur Aqilah perlu menjalani pembedahan segera bagi merawat masalah jantungnya kerana sehingga sekarang dia hanya bergantung dengan mesin oksigen untuk bernafas," katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat badan kebajikan One Hope Charity and Welfare di sini pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Nur Syahila berkata, dia dan suaminya buntu apabila dimaklumkan kos pembedahan anaknya mencecah sehingga RM80,000 berikutan dia hanya seorang suri rumah manakala suaminya penjual ikan yang meraih pendapatan RM1,200 sebulan.

Katanya, sehingga hari ini anak mereka masih ditempatkan di hospital untuk pemantauan rapi dan bergantung kepada mesin oksigen.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Chua Sui Hau berkata, pihaknya telah melancarkan tabung khas bagi mengumpul dana untuk bayi berkenaan agar dia dapat menjalani pembedahan dalam kadar segera.

Katanya, pembedahan akan dilakukan di sebuah hospital swasta di negeri ini dan pihaknya berharap orang ramai turut membantu bagi menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435.