Enam bulan uji SOP baharu bauksit

Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Pahang mencadangkan tempoh enam bulan bagi menguji keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit yang baharu sebelum aktiviti perlombongan bauksit boleh dibuka di seluruh negeri itu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata, tempoh itu bagi meneliti keupayaan penggiat industri mematuhi semua syarat SOP selain melihat keupayaan agensi penguat kuasa menyelia operasi perlombongan dan pengeksportannya.

“Kita akan mengguna pakai SOP ini dengan cara paling ketat dan kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang akan memastikan syarikat yang akan diberi lesen perlombongan ini perlu ikut SOP baharu dan sekiranya tidak (patuh) kita akan tamatkan serta-merta syarikat berkenaan.

“Kita juga buat kajian sekiranya kita perlu adakan sedikit perubahan SOP selepas enam bulan itu berdasarkan apa yang kita nampak dengan syarikat yang kita beri lesen,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang ingin tahu pemantauan kerajaan dalam memastikan syarikat yang diberi lesen perlombongan patuh kepada SOP baharu tersebut.

Bagi menguji keberkesanan SOP yang baharu itu, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri Pahang bersetuju hanya beberapa operator sahaja dibenarkan beroperasi di kawasan Gebeng, Kuantan selepas mendapat kelulusan yang ditetapkan.

Menjawab soalan asal Che Alias mengenai hasrat kementerian untuk melaksanakan SOP baharu itu, Dr Xavier berkata, SOP tersebut telah mengenakan syarat ketat bermula daripada proses permohonan, pengangkutan, ‘stockpile’ berpusat dan pengeksportan.

Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh penggiat industri adalah kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), saiz minimum tapak lombong dan pemprosesan bijih bauksit. - Bernama

Artikel Berkaitan: