SK Terentang harum nama Malaysia di persada dunia

Mohammad Fakhruddin (tengah) bersama murid dan guru yang berjaya meraih juara dalam Festival Robot ‘The Maker Robot Festival’ di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini.
Mohammad Fakhruddin (tengah) bersama murid dan guru yang berjaya meraih juara dalam Festival Robot ‘The Maker Robot Festival’ di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Lima murid dan seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Terentang, Pekan berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan juara sempena Festival Robot ‘The Maker Robot Festival’ di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini.

Guru Penasihat Robotik SK Terentang, Mazlan Muhamad Yusof, 38, berkata, kemenangan itu sungguh bermakna atas kejayaan pasukannya mengalahkan beberapa negara lain yang turut menyertai pertandingan itu.

Beliau mengakui, kumpulannya melalui saingan sengit berikutan semua pasukan berlumba-lumba menunjukkan kehebatan ciptaan masing-masing, namun berkat latihan dan kesungguhan, mereka mampu merangkul juara.

"Apa yang kami tahu adalah memberikan komitmen sepenuhnya dalam pertandingan itu dan menghasilkan ciptaan berkualiti selain sedia berjuang untuk negara.

“Berkat semangat itu, kami akhirnya dinobatkan juara, sekali gus mengharumkan nama negara dalam pertandingan itu,” katanya.

Artikel berkaitan: SK Seri Terentang bawa robot ke luar negara

Pasukan SK Terentang yang bersaing dalam Kategori Sumobot terdiri daripada Muhammad Baqir Borhan,12; Muhammad Danish Fawwaz Mohamad,11; Nurul Iman Mazlan,11; Muhammad Imran Mazlan,10, dan Nur Ishamina Amni Mohd Imeran,10.

Ia merupakan penyertaan kali pertama sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas dua tahun aktif dalam bidang robotik.

Artikel Berkaitan:

Selain SK Terentang, SK Presint 13 Putrajaya, Selangor juga terpilih mewakili negara pada festival berkenaan yang menghimpunkan sebanyak 30 pasukan dari lima negara iaitu Malaysia, Filipina, Cina, Jepun dan Korea.

Sementara itu, pasukan SK Terentang turut diraikan Exco Sains,Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dalam satu majlis di Hotel Ancasa Royale semalam.

Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut memberi sumbangan kepada murid-murid tersebut sebagai penghargaan atas kejayaan mereka dan sumbangan RM4,000 kepada Persatuan Robotik sekolah berkenaan.

Mazlan berkata, pada 28 November ini, pasukannya sekali lagi terlibat dalam pertandingan ‘World Championship Makex Robotics Competition 2019' di Guangzhou, China.

Beliau turut menaruh harapan tinggi terhadap pasukannya untuk membawa pulang pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia dan Pahang.

Bagi Mohammad Fakhruddin, kemenangan pasukan itu di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini membuktikan anak tempatan di Pahang sememangnya mempunyai keupayaan tinggi dan kebolehan bertaraf antarabangsa.

"Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menganggap kejayaan ini merupakan satu sejarah penting bagi Pahang dan merupakan kebanggaan seluruh rakyat di negeri ini.

"Ia juga merupakan sejarah negara kerana sebuah sekolah yang bukan dari kategori sekolah berprestasi tinggi atau sekolah elit telah menempa nama di persada antarabangsa," katanya.