PRK Tanjung Piai cabaran buat saya, kata Jeck Seng

Jeck Seng
Jeck Seng
A
A
A

PONTIAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menyifatkan pertandingan kali ini sebagai satu cabaran buat beliau.

Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai berkata, cabaran berkenaan secara keseluruhannya dilihat agak sukar diharungi apatah lagi dengan status parti berkenaan selaku pembangkang kali ini.

"Bagi saya, ia (cabaran) bukan mudah. Saya pembangkang, mereka kerajaan.

"Sebelum ini, banyak menteri dan timbalan menteri datang ke Tanjung Piai tabur banyak projek. Projek juta-jutalah.

"Apa pun, harap pengundi masih sayangkan saya," katanya pada sidang media di Pusat Rawatan Tradisional Cina Goh Tiam Huat di Pekan Nanas di sini hari ini.

Pada lawatan berkenaan, Jeck Seng melancarkan kutipan derma bagi dana pendidikan Tunku Abdul Rahman University College (TARUC).

Dalam pada itu, Jeck Seng turut berharap PRK kali ini berjalan lancar dan harmoni tanpa sebarang isu terutamanya yang berkaitan dengan sentimen rasis.

Menurutnya, masyarakat berbilang kaum di negara ini ibarat satu keluarga besar.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak nampak kenapa perkara-perkara seperti ini ditimbulkan?

"Kita adalah rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum. Bagi saya isu ini tidak patut timbul.

"Gunakanlah apa sahaja cara kita. Kerana ini adalah Malaysia dan kita adalah bangsa Johor," katanya.

Sementara itu, Jeck Seng berkata, setelah masuk hari kedua berkempen, pihaknya mengenal pasti masalah dihadapi nelayan termasuk petani terutamanya masalah kewangan.

"Masalah-masalah ini kita lihat masih wujud. Ini ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup, harga komoditi sawit jatuh dan sebagainya," katanya.