Sarah Hilderbrand kini bergelar isteri

Hanya dengan sekali lafaz, Sarah Hilderbrand sah bergelar isteri.
A
A

PELAKON dan pengacara, Sarah Hilderbrand, 29, sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Otto Gillen, 26, dengan hanya sekali lafaz dalam majlis ijabkabul yang berlangsung di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur, pada pagi Ahad.

Pemilik nama sebenar Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand itu dinikahkan Pendaftar Perkahwinan Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Hilmi Saadan dengan disaksikan bapa saudaranya.

Pada majlis sederhana yang dihadiri kira-kira 100 tetamu itu, Sarah menerima mas kahwin berjumlah RM300 beserta sebentuk cincin daripada pengantin lelaki yang berdarah kacukan Filiphina-Amerika.

Difahamkan pelakon Pujaan Hati Kanda itu mula menjalinkan hubungan cinta dengan suami yang juga merupakan teman lamanya itu lebih lapan bulan lalu selepas kembali bertemu ketika Sarah melawat bapanya di Arkansas, Amerika Syarikat awal tahun ini.

Sarah sebelum ini pernah bercinta dengan pengacara Nabil Mahir, namun berakhir beberapa bulan lalu selepas lima tahun saling mengenal hati budi.