Baddrol optimis Kedah bangkit jadi pasukan terbaik musim depan

Baddrol (kanan) tetap positif skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada JDT pada final Piala Malaysia 2019 semalam. - Foto Bernama
Baddrol (kanan) tetap positif skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada JDT pada final Piala Malaysia 2019 semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar tetap positif dan optimis skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2019 semalam.

Di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu akan menjadikan Kedah sebagai salah satu pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Aidil Sharin berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA 2019 dan menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dalam tempoh kurang setahun sejak dilantik sebagai pengendali pasukan pada Oktober 2018.

“Sebagai pemain profesional, kita (pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta berusaha lebih keras.

“Tahun depan masih ada lagi...insya-ALLAH, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10 bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Kedah yang mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun musim ini mempamerkan semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir termasuk kejayaan menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.

Bagaimanapun ketiadaan dua tonggak yang digantung perlawanan selain penyerang Fernando Rodriguez yang mengalami kecederaan, memberi impak kepada mutu persembahan pasukan sekali gus menyaksikan JDT mendominasi 90 minit perlawanan.

“Memang kami rasai ketiadaan Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat akhir, tetapi itu lah bola sepak. Malam ini bukan rezeki kami dan kami masih positif insya-ALLAH mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil (musim depan),” kata Baddrol.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan Kedah menyaksikan pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017 di Stadium Shah Alam malam tadi. - Bernama