Tentera Pakistan sokong Imran Khan

Penyokong JUI berhimpun ketika protes anti kerajaan, Azadi March di Islamabad semalam. - Foto AFP
Penyokong JUI berhimpun ketika protes anti kerajaan, Azadi March di Islamabad semalam. - Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Tentera Pakistan menegaskan mereka menyokong kerajaan yang dilantik dan Perlembagaan selepas puluhan ribu penunjuk perasaan anti kerajaan kini membanjiri ibu negara bagi menuntut pengunduran Perdana Menteri, Imran Khan yang diberi tempoh 48 jam untuk berbuat demikian yang tamat hari ini.

"Kami percaya dengan undang-undang dan Perlembagaan. Kami berikan sokongan kepada kerajaan yang dipilih secara demokratik dan bukan pada mana-mana pihak," tegas jurucakap tentera, Mejar Jeneral, Asif Ghafoor.

Jumaat lalu, pembangkang mendesak bekas bintang kriket bersama pentadbirannya meletak jawatan dalam tempoh dua hari.

Pihak pembangkang mendakwa kerajaan Khan sebagai tidak sah dan disokong tentera yang telah memerintah Pakistan separuh daripada sejarah negara itu dan turut menentukan dasar luar dan keselamatan di Islamabad.

Tentera bagaimanapun menafikan mereka campur tangan dalam politik seperti didakwa pemimpin kumpulan protes itu, Fazl-ur-Rehman dari parti konservatif, Jamiat Ulema-e-Islam (JUI).

Sebelum ini, Rehman mengancam untuk mencetuskan kekacauan jika kerajaan tidak berundur namun pendirian itu berubah apabila beliau menegaskan hanya akan membuat keputusan seterusnya apabila demonstrasi duduk bantah selama dua hari itu gagal mencapai matlamat mereka.

Ketika ini kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di sekitar ibu negara sebagai langkah berjaga-jaga. - Agensi

Artikel Berkaitan: