'Mummy sayang Alya, dunia dan akhirat'

Kisah seorang ibu menangisi pemergiaan anak sulungnya nyata mencuri perhatian warganet. (Kanan: Gambar terakhir Alya sempat dirakam oleh ibunya.)
Kisah seorang ibu menangisi pemergiaan anak sulungnya nyata mencuri perhatian warganet. (Kanan: Gambar terakhir Alya sempat dirakam oleh ibunya.)
A
A
A

KOTA KINABALU - Kisah seorang ibu menangisi perjalanan pemergian anak sulungnya nyata mencuri perhatian warganet.

Perkongsian itu dimuat naik di Facebook milik Norazlin Alin mendedahkan ajal itu rahsia ALLAH.

Pada tarikh 30 Oktober, anak sulungnya dengan timangan nama Alya telah pergi menghadap illahi dan dia bagaikan tidak percaya anaknya telah tiada meskipun perkara itu disahkan oleh doktor.

"Doktor pakar keluar memberitahu 'anak puan tidak dapat diselamatkan, anak puan sudah tiada'.

"Mummy terus rebah, menangis sekuat hati. Mummy hanya dakap Alya sepuas-puasnya. Mummy sayang Alya, dunia dan akhirat.

"Doktor yang berdiri di situ berulang kali cakap 'saya betul-betul tidak tahu apa yang jadi sama anak puan, saya minta maaf," katanya.

Menurutnya, Alya diserang demam pada 28 Oktober lalu dan tahap kesihatannya semakin merosot.

Pada awalnya, guru ini hanya menyangka anaknya sekadar demam biasa namun, ia berlarutan pada 29 Oktober apabila Alya muntah selepas makan dan hanya tidur sahaja.

Artikel Berkaitan:

Sehinggalah pada keesokannya, semuanya berubah sekelip mata apabila kanak-kanak tersebut diserang sawan dan dikejarkan ke hospital.

"Dalam keadaan panik, terus lari ambil tudung, beg tangan, kunci kereta pergi ke klinik sebelum doktor meminta ke hospital susulan melihat keadaan Alya sangat lemah," katanya.

Kata Norazlin, anaknya tidak berdaya apabila diserang sawan sekali lagi dalam tempoh lima saat.

Ketika berada di wad kecemasan, katanya, doktor berusaha menyelamatkan Alya apabila kesihatannya semakin merosot, muntah beberapa kali selepas minum dan badannya semakin pucat.

"Alya nak minum, (inilah ayat terakhir yang keluar dari mulut Alya yang mummy boleh dengar dengan jelas).

"Masa ini nampak mata putih je, badan semakin pucat, doktor mula sibuk cari keputusan darah Alya dan keputusan baik tetapi badannya semakin biru.

"Tiba-tiba doktor jerit CPR (bantuan penafasan). Allahu, dada Alya terus kena tekan. Sekali lagi doktor pakar keluar beritahu ‘anak puan tak okey’. Hinggalah doktor memberitahu anak saya sudah tiada," katanya.

Kisah menyentuh jiwa ini tular di media sosial dan meraih lebih 16,000 tanda suka, 6,800 maklum balas dan 10,000 perkongsian daripada netizen yang tanpa henti mendoakan si ibu kuat menghadapi dugaan dan menyifatkan ALLAH lebih menyayangi anaknya.