Banjir: KKM waspada risiko denggi dan penyakit bawaan air

Dr Dzulkefly berucap ketika merasmikan Majlis SERVEU 1.0 2019 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kucing Tengah, Kuala Selangor, hari ini. -Foto Bernama
Dr Dzulkefly berucap ketika merasmikan Majlis SERVEU 1.0 2019 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kucing Tengah, Kuala Selangor, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko berlakunya peningkatan demam denggi dan penyakit bawaan air susulan banjir di beberapa buah negeri sejak minggu lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, risiko demam denggi dan penyakit bawaan air seperti penyakit tifoid dan kolera akan meningkat terutamanya selepas banjir.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita melakukan kerja pembersihan secepat mungkin selepas air banjir surut kerana sampah sarap yang dibawa air banjir dikhuatiri boleh menakung air yang kemudian menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya kepada pemberita pada program gotong-royong pasca banjir di Kampung Parit Mahang di sini hari ini.

Seramai 642 sukarelawan daripada agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan menyertai gotong-royong berkenaan bagi mencuci sebanyak 300 buah rumah mangsa banjir di sekitar daerah ini yang terjejas sejak 25 Oktober lepas.

Dr Dzulkefly juga dalam pada itu berharap risiko peningkatan kes demam denggi itu turut menjadi perhatian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, semua lokasi yang dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir akan ditempatkan dengan pegawai perubatan serta jururawat.

Dr Dzulkefly berkata, ketika ini, pesakit yang memerlukan rawatan dialisis akan diberi keutamaan supaya rawatan rutin mereka tidak terjejas.

“Pegawai dan jururawat dari pusat kesihatan daerah akan memantau mangsa banjir bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: