Syarikat didenda abai kesihatan pekerja

No Image Caption
A
A
A

BATU GAJAH - Sebuah syarikat pembuatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah pada hari ini kerana gagal melaksanakan perlindungan pemindahan perubatan kepada seorang pekerjanya.

Syarikat tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 28(1), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 kepada MSHK Engineering Sdn Bhd selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Dalam pertuduhan itu, MSHK Engineering Sdn Bhd sebagai majikan gagal melaksanakan perlindungan pemindahan perubatan berkenaan seperti yang disarankan oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan.

Berdasarkan pemeriksaan perubatan mendapati pekerja tersebut mengalami peningkatan gangguan kesihatan apabila mempunyai paras bahan kimia Manganese dalam urine yang tinggi melebihi paras normal.

Pemeriksaan oleh pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (JKKP) Perak pada 14 Ogos 2018 mendapati majikan masih tidak memindahkan pekerja tersebut dari aktiviti proses kimpalan yang mendedahkan pekerja tersebut kepada Manganese.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Ahmad Fakhri Mohammad Yusoff manakala syarikat terbabit diwakili Pengarah Urusan, Liew Chee Hwa.

Artikel Berkaitan: