Bukan misi mustahil Malaysian Tigers

Mirnawan
Mirnawan
A
A
A

LEGENDA hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi optimis Malaysian Tigers mampu merealisasikan ‘misi mustahil’ membenam Great Britain dalam dua aksi Kelayakan Olimpik 2020 di Stadium Olimpik Lee Valley.

Menurutnya, peluang tetap ada buat Malaysian Tigers melakar kejutan berdasarkan prestasi kurang memberangsangkan pasukan gergasi Eropah itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sudah tentu ia bukan perlawanan yang mudah kerana berdasarkan rekod, Great Britain jauh lebih hebat daripada kita.

“Namun, dari segi prestasi semasa dan melihat kepada persembahan Great Britain terutamanya selepas Piala Dunia di India tahun lepas, mereka kurang konsisten dan kita mampu mencabar mereka.

“Apa yang penting adalah aksi para pemain di atas padang perlu berada pada tahap terbaik dalam tempoh 120 minit itu,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara hanya mampu menang dua kali dalam 23 pertemuan dengan Great Britain iaitu pada 1991 di Cardiff, England dan Piala Sultan Azlan Shah 1996.

Mengulas lanjut, Mirnawan mengakui, Great Britain memiliki kelebihan apabila bermain di laman sendiri selain faktor cuaca yang menyebelahi mereka.

Namun, ia bukanlah perkara yang perlu dirisaukan, sebaliknya Mirnawan percaya semangat dan motivasi Malaysian Tigers berada pada tahap terbaik selepas mengharungi latihan intensif selama beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

“Untuk mencari kelemahan Great Britain mungkin sukar tetapi kita mempunyai penyerang yang pantas serta pemain yang mempunyai skil teknikal tinggi yang mampu memberikan masalah kepada pasukan lawan.

“Dalam setiap perlawanan itu juga kita tentu mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, jadi kita mesti manfaatkan peluang tersebut,” jelasnya.

Malaysian Tigers dijadualkan menentang Great Britain pada jam 12.30 tengah malam esok (Ahad, 3 November) dan 11 malam (Ahad, 3 November).