PRK Tanjung Piai: BN yakin menang jika isu umur jadi kempen lawan

Dari kanan, Jeck Seng, Ir Hasni dan Ka Siong pada sidang media di Pusat Gerakan BN Jalan UMNO tadi.
Dari kanan, Jeck Seng, Ir Hasni dan Ka Siong pada sidang media di Pusat Gerakan BN Jalan UMNO tadi.
A
A
A

PONTIAN - Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) boleh menang sekiranya Pakatan Harapan menjadikan kenyataannya berhubung isu umur sebelum ini sebagai bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Apabila ada yang menganggap kenyataan saya terhadap calon PH (Pakatan Harapan) berusia 66 tahun, seolah-olah saya kata ada PRK (selepas ini), mereka kata saya boleh tahu panjang umur seseorang.

"Jika perkara ini dijadikan isu dalam kempen, BN dalam keadaan cerah untuk menang PRK Parlimen Tanjung Piai kali ini," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan BN Jalan UMNO di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Ir Hasni sebelum ini dibidas kerana mengulas usia calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru diumumkan bagi PRK Tanjung Piai sewaktu pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Isnin lalu.

Sementara itu, Ir Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, pengundi di Parlimen Tanjung Piai memberi isyarat mereka mahukan calon anak tempatan, berpendidikan, disenangi ramai dan mempunyai ketokohan.

Katanya, kelebihan itu dimiliki calon BN, Jeck Seng yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai bermula dari 2008 hingga 2018, menyebabkannya cukup dikenali masyarakat setempat berbilang kaum di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bos saya pun umur 94 tahun, calon PH jawab UMNO

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon daripada PH, BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas.

Enam calon berkenaan ialah Wendy Subramaniam, 38 (Gerakan); Datuk Seri Wee Jeck Seng, 55 (BN-MCA); Karmaine Sardini, 66 (PH-Bersatu); Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 55 (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chun Lok, 49, dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pengundi berdaftar dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).

Untuk rekod, PRK Tanjung Piai merupakan PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.