X

Kindly register in order to view this article
!

BN boleh menang jika tiada sabotaj: Najib

Najib bersama pemimpin dan penyokong BN yang hadir pada hari penamaan calon PRK Tanjung Piai hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PONTIAN - Barisan Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sekiranya tiada unsur sabotaj dan masalah dalaman antara semua pihak.

Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan tinjauan turun padang semalam, beliau melihat sentimen BN untuk menang pada PRK kali ini amat tinggi dengan kehadiran penyokong calon yang berbilang kaum.

Menurutnya, pihaknya yakin tiada unsur kehilangan sokongan pengundi BN terutama dalam kalangan penyokong UMNO.

"Saya nampak sentimen positif (untuk menang) terhadap BN. Soal calon, kita sudah terang kepada akar umbi apa asas pilih calon dari MCA( Datuk Seri Dr Wee Jack Seng) dan semua faham.

"Nampaknya 'mood' pengundi (kepada BN) sangat memberangsangkan. Kita harap semua kerja keras, bersatu, tiada sabotaj dan tiada masalah dalaman untuk menjamin kemenangan nanti, " katanya kepada media ketika ditemui di luar pekarangan pusat penamaan calon PRK Tanjung Piai hari ini.

Najib berkata, BN juga tidak bermasalah untuk menghadapi pertembungan enam penjuru yang turut melibatkan penyertaan dua calon Bebas.

"Saya juga bersyukur proses perjalanan kempen PRK berjalan dengan keadaan teratur dan berharap ianya berterusan sehingga selesai proses pengundian.

"Lebih ramai calon bertanding, lebih baik dan BN tiada masalah. Harap semua pihak dapat menunjukkan kematangan dalam politik dan berkempen secara sihat," katanya.

PRK Tanjung Piai pada kali ini menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk dua calon Bebas.

BN yang sebelum ini disebut-sebut mahu meletakkan calon UMNO, akhirnya mengekalkan status quo MCA pada kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan meletakkan bekas penyandang, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai calon.

PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38, manakala Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) mempertaruhkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 56.

Turut mencuba nasib adalah dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, 49, dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.

PRK Tanjung Piai dijadual berlangsung 16 November ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada Bersatu akibat serangan jantung pada 21 September lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus