X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki samun dua warga emas akhirnya dicekup

Nor Azmi (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Tiga rakan yang dikatakan licik melakukan kegiatan mencuri dan menyamun dua warga emas akhirnya dicekup sepasukan polis di sebuah stesen minyak di Kuala Selangor semalam.

Penahanan ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 32 hingga 37 tahun itu susulan laporan dibuat dua wanita berusia 68 dan 75 tahun pada 22 dan 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian melibatkan rumah mangsa di Parit 13 Sungai Panjang dab suspek menjalankan modus operandi dengan menjadikan warga emas wanita sebagai sasaran kegiatan terbabit.

"Kejadian pertama berlaku pada jam 11 pagi apabila mangsa berusia 68 tahun didatangi empat lelaki menaiki lori untuk membeli barangan lusuh. Salah seorang suspek masuk ke dalam rumah manakala tiga yang lain mengambil barangan lusuh di luar rumah mangsa.

"Kemudian suspek memberikan wang RM15 kepada mangsa sebelum beredar dari lokasi. Sejurus mangsa masuk ke dalam rumah, didapati bilik tidurnya berselerak dan wang tunai RM1,000 miliknya lesap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.

Menurutnya, kejadian kedua jam 7.45 malam pula berlaku ketika tiga suspek memasuki rumah mangsa berusia 75 tahun melalui tingkap belakang.

"Salah seorang suspek memegang parang dan mengikat tangan serta kaki mangsa, selain mengugut supaya tidak membuat bising. Tiga suspek itu kemudian menggeledah bilik mangsa dan mengambil beg tangan serta barang kemas milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Mangsa kedua kerugian RM15,000 dan mendakwa mengenali salah seorang suspek yang melarikan diri dengan motosikal jenis dan nombor yang belum dikenal pasti identitinya," katanya.

Nor Azmi berkata, polis turut merampas lori jenis Isuzu yang dinaiki suspek selain anak kunci dan peralatan memecah masuk rumah.

"Dua suspek berusia 32 dan 33 tahun memiliki satu rekod lampau dadah dan jenayah, manakala seorang lagi tiada rekod lampau. Polis sedang giat memburu seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kes pertama.

"Semua suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf