Bantuan di Tanjung Piai bukan 'gula-gula PRK', kata MB Johor

Dr Sahruddin Jamal
A
A

PONTIAN - Bantuan kerajaan Pusat mahupun kerajaan Negeri Johor kepada penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai bukanlah gula-gula Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi parlimen itu, kata Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, bantuan itu seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan nelayan telah dirancang lama sewaktu penyandang kerusi Parlimen itu, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik masih hidup lagi.

“Buat baik pun salah, buat salah pun salah, biasalah pembangkang, tapi harus diingat apa yang saya sampaikan hari ini ialah mock-cheque di mana permohonan ini dimohon arwah dahulu.

“Sebetulnya arwah telah kerja keras untuk memastikan pembangunan di kawasan Tanjung Piai ini dapat dipertingkatkan.

"Sebetulnya tiada gula-gula, memang arwah sendiri yang mohon,” katanya selepas menyampaikan sumbangan benih ikan kepada pengusaha ikan sangkar dan sangkar ikan High Density Polyethylene (HDPE) Pulau Kukup di Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini hari ini.

Sangkar ikan HDPE adalah satu alternatif baru Jabatan Perikanan Malaysia kepada pengusaha sangkar ikan marin menggunakan peralatan moden berbanding sistem ternakan konvensional sedia ada.

Dilaporkan, pengumuman peruntukan oleh beberapa menteri di Tanjung Piai sebelum ini mengundang kritikan daripada pembangkang yang mendakwanya sebagai usaha meraih undi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mengulas mengenai hari penamaan calon PRK pada esok, Dr Sahruddin yang juga Pengarah Jentera Pakatan Harapan berkata, ahli dan jentera parti telah bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran dan kemenangan calon kerajaan yang telah dipilih sebelum ini.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumum sebagai calon PH untuk PRK ini. Karmaine adalah bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang, Tanjung Piai, sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Barisan Nasional (BN) pula meletakkan calon MCA, yang juga bekas penyandang Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, manakala parti Gerakan pula memilih Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya, Wendy Subramaniam sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas.

Terdahulu, Dr Sahrudin melawat beberapa sangkar ikan di Pulau Kukup berdekatan jeti itu yang terjejas ekoran cuaca buruk semalam sebelum menyerahkan peruntukan hampir RM115,000 untuk pembinaan dua unit sangkar HDPE dan benih ikan kepada peserta serta pengusaha industri itu.

Beliau kemudian turut menyampaikan peruntukan kira-kira RM11 juta untuk pembinaan dewan masyarakat dan dewan serbaguna bagi beberapa sekolah di sekitar Tanjung Piai. - Bernama