Henti guna alasan '3 batu nautika' sekat royalti minyak Kelantan

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan diminta berhenti menggunakan alasan kitar semula 3 batu nautika punca Kelantan tidak dibayar royalti minyak atau akan dibayar dalam jumlah yang sedikit.

Presiden NGO Royalti, Nazri Deraman berkata, istilah 3 batu nautika sebenarnya tidak pernah dinyatakan dalam Perjanjian Royalti antara semua kerajaan negeri dan Petronas.

"Akta 144 juga dengan jelas tidak menghadkan jarak kedudukan telaga minyak dalam ukuran batu nautika atau kilometer.

"Istilah yang ada dalam kedua-dua dokumen perundangan tersebut adalah 'onshore' (daratan) dan 'offshore' (lautan) semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ironinya, rekaan alasan 3 batu nautika ini 'dipinjam' daripada Ordinan Kuasa Darurat 1960 yang secara spesifiknya merujuk kepada soal pentadbiran keselamatan.

Beliau berkata, sekiranya di dalam lingkungan 3 batu nautika, maka soal keselamatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sekiranya melebihi had berkenaan, soal keselamatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ia langsung tidak merujuk kepada soal had jarak milikan telaga minyak malahan Ordinan Kuasa Darurat ini telah pun dihapuskan sewaktu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2011.

"Bagaimana mungkin akta yang telah dimatikan boleh terus dikitar semula dan diguna sebagai hujah?

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Persekutuan kemudiannya telah memperkenalkan satu akta baharu yang turut memasukkan peruntukan tiga batu nautika ini yang dikenali sebagai Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

"Akta yang diluluskan pada April 2012 ini dengan jelas berhasrat untuk menghadkan sempadan laut atau perairan negeri-negeri kepada hanya tiga batu nautika.

"Ini turut bermaksud milikan ke atas pelantar benua yang sebelum ini menjadi milikan negeri akan bertukar kepada Kerajaan Persekutuan.

Nazri
Nazri

Nazri berkata, menurut Perlembagaan Malaysia, sekiranya mana-mana Akta Persekutuan yang melibatkan sempadan negeri dan pengurangan kuasa negeri, akta tersebut memerlukan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-Raja.

Katanya, Akta Laut Wilayah 2012 telah merampas hak negeri-negeri seperti yang tertera di bawah Seksyen 4 Akta ini.

"Pihak kami menyeru agar semua pimpinan dan rakyat di negeri-negeri lain membuka mata tentang kesan yang amat besar sekiranya Akta 750 yang telah diluluskan di Parlimen tersebut dikuatkuasakan di negeri masing-masing.

"Langkah menolak akta tersebut sebagaimana yang telah berjaya dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Sabah amat wajar diikuti.

"Ia bukan sahaja amat penting untuk negeri-negeri pengeluar minyak sekarang, mungkin suatu masa nanti telaga-telaga minyak akan turut dijumpai di perairan negeri-negeri lain.

"Ketika itulah anda semua akan membuka mata, namun ia telah terlambat dan akan berputih mata untuk selama-lamanya," katanya.

Nazri berkata, sebenarnya tidak pernah wujud walau satu telaga minyak pun di Perairan Semenanjung Malaysia dalam lingkungan 3 batu nautika atau lebih senang difahami, jaraknya bersamaan dengan 5.556 kilometer.

"Tidak pernah kedengaran nelayan pesisir pantai yang terlanggar pelantar minyak atau dihalang daripada menangkap ikan lantaran terlalu hampir (yang hanya 5.556km dari daratan) dengan kawasan pelantar minyak tersebut.

"Kenapa Terengganu, Sabah dan Sarawak tetap dibayar royalti walaupun telaga minyaknya berada di luar lingkungan 3 batu nautika? Kami ingin memberikan nasihat kepada semua pihak, cukup-cukuplah mereka cipta alasan kurang cerdik untuk mengaburi mata rakyat Kelantan yang tidak kurang hebat daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan.

"Pihak kami amat yakin semakin hari semakin banyak fakta dikeluarkan dan diakui oleh pihak Kerajaan Persekutuan seterusnya mengesahkan bahawa Kelantan patut menerima bayaran tunai dalam jumlah yang amat tinggi.

"Buat masa ini kami masih lagi menaruh harapan yang tinggi agar Kerajaan PH akan melunaskan segala tuntutan rakyat Kelantan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran royalti selepas isu sempadan perairan selesai: Azmin

'Wang ihsan RM15.7 juta bukan royalti minyak Kelantan'