X

Kindly register in order to view this article
!

Marquez bantu pasukan raih gelaran juara dunia

Marquez
A
A

SEPANG - Juara dunia, Marc Marquez mempunyai peluang untuk memadam rekod pungutan mata tertinggi dalam MotoGP semusim tetapi beliau lebih tertumpu untuk membantu pasukan Respol Honda merangkul gelaran pasukan juara dunia.

Respol Honda kini hanya ketinggalan satu mata dengan pasukan pendahulu, Ducati yang mengutip 409 mata untuk memburu gelaran juara pasukan musim ini.

Pelumba Sepanyol itu berkata, pasukannya kini berada di saat yang baik dan semua perancangan berjalan lancar dengan mengekalkan sasaran menamatkan semua perlumbaan dengan kedudukan podium.

”Kita akan berusaha keras sepanjang hujung minggu ini untuk memburu satu lagi kejayaan serta memberi tekanan kepada pencabar kami. Inilah cara terbaik untuk mengakhiri saingan musim ini,” katanya pada sidang media sempena perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar SIC di sini hari ini.

Marquez kini mendahului kedudukan pendahulu untuk mempertahankan gelaran juara dunia dengan mengumpul 375 mata, jauh meninggalkan pencabar terdekat dan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso dengan kelebihan 135 mata.

Memandangkan keadaan jentera musim ini serta memburu gelaran pasukan terbaik musim lalu, Marquez bagaimanapun bimbang dengan keadaan cuaca di Sepang untuk mengecapi satu lagi kejayaan.

Marquez
Marquez

Menurutnya, adalah sukar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu serta memahami keadaan litar yang mungkin banyak berubah pada sebelah pagi dan tengah hari.

Namun katanya, beliau akan cuba berada di kelompok utama dalam apa jua keadaan demi memburu kejayaan di sini Ahad ini.

Mengulas sama ada beliau akan mengatasi rekod pungutan mata tertinggi semusim yang dipegang oleh rakan sepasukan, Jorge Lorenzo dengan 383 mata dalam 18 pusingan musim 2010 ketika bersama pasukan Yamaha, Marquez berkata, itu bukan sasaran utamanya di Litar SIC.

“Saya tidak pernah mengubah strategi walaupun bersaing untuk kejuaraan. Memang saya boleh mengutip banyak mata dalam perlumbaan 19 pusingan musim ini tetapi ia rekod yang kita akan ingati jika pelumba lain dapat mengulanginya.....oleh itu saya tidak peduli dengan rekod ini.

“Saya akan mengekalkan strategi yang sama dengan sasaran untuk naik ke podium tetapi sudah semestinya sasaran sekarang saya adalah untuk menang. Bagaimanapun pencabar saya akan memberikan jawapan itu sama ada ia boleh berlaku pada hujung minggu ini,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.

Selepas 17 pusingan musim ini Marquez telah menang 11 kali dengan 10 kedudukan petak utama dan 16 kali naik ke podium. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!