'ALLAH pinjamkan dia sekejap'

Shah menunjukkan gambar anaknya.
Shah menunjukkan gambar anaknya.
A
A
A

SEREMBAN – "ALLAH pinjamkan dia sekejap. Bagi saya apa yang terjadi adalah satu keajaiban seperti ALLAH mahu beri peluang kepada ahli keluarga menatap wajahnya buat kali terakhir,” kata penyampai radio THR Gegar, Mohamad Saharani Muhammad, 33, mengenai anaknya yang meninggal dunia selepas empat hari dilahirkan akibat komplikasi jantung sebelah kiri.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Shah Muhammad berkata, anak lelakinya itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang semalam, tetapi kembali bernyawa 10 minit kemudian.

Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 2 pagi tadi anaknya Muhammad Aliff Khalifah pergi buat selama-lamanya di rumah keluarga isterinya di Taman Marida, Senawang di sini.

“Anak ketiga saya dilahirkan dalam keadaan baik oleh isteri Ahad lalu. Doktor beritahu dia tiada sebarang masalah kesihatan dan keesokannya kami dibenarkan membawanya pulang.

“Namun pada tengah hari dia tiba-tiba tidak boleh bernafas dan saya bawanya ke klinik. Doktor beritahu keadaannya kritikal dan perlu dirujuk ke hospital sebelum saya dimaklumkan yang dia tiada harapan untuk hidup kerana ada komplikasi pada jantung,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Taman Marida di sini hari ini.

Bercerita lanjut katanya, anaknya terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan perlu bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

Namun dia dan isteri membuat keputusan untuk menghentikan mesin bantuan pernafasannya kerana tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung.

“Saya tak sanggup melihat keadaan anak yang dipenuhi wayar. Tapi belum sempat mesin itu dihentikan, tahap oksigen turun kepada 30 peratus dan jam 5 petang dia disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekeluarga sudah reda pun. Tapi lebih kurang 10 minit, dia tiba-tiba bernafas semula. Kakinya yang sudah biru tukar merah semula dan ia satu keajaiban,” katanya.

Menurutnya, doktor memberitahu yang hayatnya tidak lama dan diberi pilihan sama ada mahu bawanya pulang atau letakkan di NICU.

Mahu terus berada di sisi anaknya, Shah Muhammad membuat keputusan membawanya pulang ke rumah dan kira-kira jam 2 pagi dia meninggal dunia.

“Saya dan isteri sudah bersedia selepas ‘kali pertama’ dia tinggalkan kami. ALLAH pinjamkan dia sekejap pun buat saya dan isteri, saya sudah rasa bersyukur.

“Terima kasih kepada semua rakan yang sentiasa mendoakan kesihatan anak saya sebelum ini,” katanya.

Jenazah Muhammad Aliff Khalifah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang jam 11 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN Akhirnya kamu pergi jua anak syurga...