Planetarium Melaka tak selamat?

A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri mengarahkan bangunan Planetarium Melaka yang terletak di bulatan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dikosongkan selepas salah sebuah dinding dalam bangunan itu runtuh di sini, kelmarin.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata, keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan awal mendapati insiden itu akan mengakibatkan tiga lagi dinding yang terdapat di bahagian tingkat satu turut tidak selamat.

“Dijangkakan berlaku kejadian sama, biarpun kerosakan tidak melibatkan keseluruhan struktur bangunan yang mula beroperasi sejak tahun 2009. Pakar forensik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengenal pasti dan membuat analisis berhubung struktur bangunan berkenaan.

“Sama ada ia selamat atau tidak boleh digunakan dan keputusan siasatan terperinci itu akan diperoleh secara rasmi dalam tempoh seminggu selain laporan bomba,” katanya melihat lokasi dinding Planetarium Melaka runtuh di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan JKR negeri, Mohd Shahruzzaman Sihab; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hamdan Sudin dan Jurutera Daerah, JKR Melaka Tengah, Ismail Abd Rahman.

Menurutnya, insiden dinding bersaiz 5x7 meter kaki persegi yang runtuh, berlaku di ruang tengah pameran dan tidak mengakibatkan kecederaan kepada sesiapa.

“Bagi pihak kita, memang kita tidak benarkan (beroperasi) sehingga sama ada nak diperbaiki atau sehingga kita buat pemeriksaan.

“Kakitangan juga kita tak benarkan berada di sini, saya rasa untuk kita (teknikal JKR) ia melibatkan nyawa, kita akan tetap tidak benarkan melihat kepada aspek teknikal dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jalaini Khamis yang ditemui berkata, beliau sudah berbincang dengan pengurusan Planetarium Melaka berhubung operasi bangunan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


“Kita bincang untuk menghentikan sementara operasi kerana merasakan keseluruhan bangunan itu tidak selamat lagi untuk digunakan sebelum ia dapat dibaik pulih,” katanya.

Selain itu, menurutnya beliau juga merencana untuk memberi nafas baharu kepada projek gajah putih berkenaan menerusi pelan ‘Galaxy World Melaka’ bagi menambah baik produk pelancongan tersebut sejak lima bulan lalu yang dianggarkan menelan kos pembinaan RM200 juta.

“Syukur kerana perkara ini berlaku pada masa cuti dan tidak ada kakitangan dalam bangunan, memang perancangan untuk kita tutup sementara sehingga bangunan itu dapat dibaik pulih.

“Bila kerajaan PH ambil alih, ia sebenarnya projek gajah putih kerajaan terdahulu, matlamat (planetarium) bagus tapi pelaksanaan tak bagus, ada fakta-fakta yang kita dapati tidak dikemas kini seperti planet pluto yang masih lagi dipamerkan dalam galaksi planet, audit dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian semalam menyiarkan sebahagian siling kapur di ruang pameran Planetarium Melaka runtuh dalam kejadian hujan lebat dan ribut.