Kerajaan kaji wujudkan pusat sains di kawasan industri

Isnaraissah Munirah
Isnaraissah Munirah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) sedang mengkaji mewujudkan pusat kajian khusus di kawasan perumahan berhampiran dengan perindustrian bagi memantau isu pencemaran.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah berkata, langkah itu diambil berikutan hasil dapatan kajian terhadap kes pencemaran udara di Pasir Gudang dan pencemaran Sungai Kim Kim, di Johor sebelum ini.

“Pada masa kini soal pemantauan kualiti alam sekitar dan penguatkuasaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala kajian pencemaran pula dilakukan oleh Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (PH-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan satu pusat kajian khusus bagi memantau, mengkaji dan mengatasi masalah pencemaran sungai serta udara di kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan perindustrian.

Kementerian itu juga melalui JAS telah melaksanakan program pengawasan kualiti alam sekitar untuk memantau tahap kualiti udara, air sungai dan air laut di kawasan penempatan yang terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian.

“Data-data pengawasan kualiti alam sekitar ini dipantau dan diselaraskan melalui Pusat Data Alam Sekitar.

“JAS akan mensyaratkan pihak industri supaya mengisytiharkan beban pelepasan ke udara melalui talian yang dihubungkan terus dengan sistem pemantauan JAS untuk mengelakkan berlaku pencemaran,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: