Subkhiddin puji tindakan FAM pilih pengadil tempatan

Subkhiddin
Subkhiddin
A
A
A

BEKAS pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh memuji langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu menggunakan khidmat pengadil tempatan pada aksi final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Menurut Subkhiddin, tindakan itu akan menyuntik motivasi kepada pengadil tempatan untuk memberikan prestasi lebih baik khususnya di peringkat tertinggi domestik seperti Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau turut memberikan peringatan kepada para penyokong bola sepak tempatan agar tidak cepat menghukum pengadil tempatan yang sebelum ini sering menjadi subjek kecaman jika berlaku sebarang kontroversi membabitkan keputusan perlawanan.

“Secara peribadi, saya berpendapat tindakan FAM ini sangat dihargai dalam kalangan pengadil tempatan bermula peringkat bawahan hingga atasan. Mengadili final seperti Piala Malaysia bukan sahaja pencapaian tertinggi tetapi ia juga adalah salah satu proses pembangunan buat pengadil itu sendiri.

“Saya bimbang jika pengadil import selalu dibawa (mengadili aksi final), ia akan menjadi anti-klimaks dan 'membunuh' semangat pengadil tempatan untuk memberikan persembahan lebih baik,” ujarnya.

Pada masa sama, Subkhiddin tetap mengalu-alukan keputusan FAM yang membawa masuk barisan pengadil dari Jepun bagi mengadili aksi final Piala FA antara Kedah dan Perak pada Julai lalu.

“Jangan salah faham, saya tidak menentang idea untuk membawa pengadil luar datang ke Malaysia tetapi saya harapkan adalah kedatangan mereka sekurang-kurangnya turut dapat memberikan manfaat kepada pengadil tempatan kita.

“Jika mereka (pengadil luar negara) diberikan peluang datang menjadi pengadil di negara kita, tak salah peluang itu turut ditawarkan juga kepada pengadil tempatan. Jadi kita boleh menyaksikan berlaku proses pembangunan pengadil kita sendiri,” jelasnya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid mengesahkan bahawa pihaknya sudah menyenarai pendek lapan pengadil tempatan untuk mengadili aksi final Piala Malaysia kali ini.