Peralihan jawatan PM muktamad, Tun M belum sedia: Azmin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses peralihan jawatan Perdana Menteri melibatkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim sudah ‘berulang kali’ dimuktamadkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Dr Mahathir telah menyatakan beliau belum bersedia sehinggalah masalah ekonomi dan negara selesai.

Menurutnya, proses peralihan itu nampak seolah-olah tidak berhenti dibincangkan kerana media kerap membangkitkan isu berkenaan.

“Tak berhenti, kenapa, sebab anda jolok (tanya soalan). (Adakah ada keputusan muktamad?) Muktamad berulang kali dah.

“PM (Perdana Menteri) dah menyatakan beliau belum bersedia sehinggalah selesai masalah ekonomi dan negara. Masalah ini rumit dan beliau mempunyai pengalaman luas untuk membantu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Anwar mendakwa ada pihak cuba menghalangnya menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Gombak itu menyarankan supaya pihak terlibat tidak lagi menyatakan isu itu secara terbuka kerana akan menimbulkan banyak persoalan.

"Sebab itu saya kata jangan bercakap. Bila bercakap, macam-macam soalan timbul. Jadi hentikan semua perbincangan.

“Kita akan adakan perbincangan tentang memperkukuhkan negara, memajukan rakyat luar bandar, tumpu soal WKB (Wawasan Kemakmuran Bersama 2030),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan parti tersebut enggan lagi menyentuh soal Perdana Menteri kelapan dan ‘pengkhianatan’ dalam PKR.

Menurutnya, mereka mahu bergerak ke hadapan dan memfokuskan untuk meningkatkan tahap ekonomi serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita kan dah tak mahu sentuh isu ini, tiada lagi sentuh isu PM8 (Perdana Menteri kelapan), tiada lagi isu pengkhianatan.

“Kita perlu bergerak ke hadapan, lakukan kerja kita, tingkatkan ekonomi negara dan perkhidmatan kita kepada rakyat,” katanya.