Tol akan naik kalau jual PLUS kepada swasta, kata Azmin

Azmin Ali
Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bersetuju sekiranya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijual kepada pihak swasta.

Menurutnya, sekiranya syarikat konsesi itu dijual kepada pihak swasta, beliau menjangkakan kadar tol akan dinaikkan dan tol juga tidak akan dihapuskan.

“Khazanah memiliki PLUS 51 peratus dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) 49 peratus, kenapa nak swastakan ia?

“Kita tak mahu memberi beban kepada rakyat dan pengguna jalan raya. Itu dalam manifesto kita. Kita akan berbincang dengan syarikat-syarikat konsesi untuk mengurangkan bebanan pengguna jalan raya.

“Tapi kalau anda jual PLUS kepada pihak swasta yang akan kenakan tol, naikkan kadar tol, ia tak memenuhi kehendak manifesto kita,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, swasta berbeza dengan kerajaan kerana lazimnya pihak swasta mahu membeli sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka.

“Kita bukan soal keuntungan. Khazanah dan KWSP nak berikan khidmat kepada pengguna jalan raya.

“Kecuali ada pihak swasta yang nak beli PLUS tapi dia nak hapuskan tol. Semoga berjaya kepada anda kalau boleh dapat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Khazanah Nasional Bhd menegaskan mereka tidak berminat untuk menjual PLUS Malaysia Bhd iaitu syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS mengekalkan pendiriannya untuk tidak menjual pegangannya dalam syarikat itu.

"Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2019 di sini hari ini.