LTTE: Tunggu Ketua Menteri buat keputusan

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - DAP Melaka menyerahkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari berhubung keputusan melibatkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek dari DAP, G Saminathan yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), selama prosiding mahkamah berlangsung.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata, sejak penahanan wakil rakyat itu pada 10 Oktober lalu, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan pengundi-pengundi di kawasan berkenaan dan ia dipikul bersama pasukan wakil rakyat negeri ini.

Menurutnya, Ketua Menteri turut memberikan beliau amanah untuk memikul tugas sementara itu termasuk portfolio dipegang oleh wakil rakyat berusia 34 tahun tersebut.

"Kerajaan PH bergerak dalam satu pasukan yang cukup mantap dan kita tiada masalah nak pikul amanah dan tanggungjawab itu bersama dan saya juga bersedia memikulnya jika perlu.

"Saya yakin Ketua Menteri akan buat keputusan terbaik untuk kita termasuk wakil rakyat tersebut serta penduduk dan pengundi kawasan berkenaan," katanya kepada media selepas majlis Perasmian Simposium Kebangsaan Transformasi Pengurusan Bahan Rujukan Khazanah Warisan Negara Secara Bersepadu 2019 di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pendakwaan terhadap Saminathan, Kok Kiew yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa seseorang tidak patut dianggap bersalah, selagi belum dibuktikan oleh mahkamah.

"Kita yakin kebenaran akan terbukti tidak lama lagi dan beliau juga belum dibuktikan bersalah," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua ADUN Melaka dan Negeri Sembilan serta ketua pegawai eksekutif kerajaan negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga tertuduh, ADUN Gadek, G Saminathan, 34, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, dan S Chandru, 38, didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan terbabit dalam satu majlis beralamat di Dewan Kasturi Ayer Keroh, 28 November tahun lalu.