ASP, inspektor antara 35 polis Selangor ditahan positif dadah

Noor Azam menunjukkan dadah yang akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam di sini.
Noor Azam menunjukkan dadah yang akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam di sini.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 35 pegawai dan anggota polis di Selangor ditahan positif dadah dalam Op Blue Devil yang dijalankan bermula 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mereka yang ditahan termasuk pegawai berpangkat asisten superintendan (ASP) dan inspektor.

"Seramai 22 individu telah dituduh di mahkamah, yang mana kita tidak boleh bertolak ansur dengan perkara ini.

"Kita juga tidak akan beri peluang kepada anggota yang terlibat dengan dadah," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Op Blue Devil yang mula dilaksanakan di setiap kontinjen pada 13 Ogos lalu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Noor Azam berkata, berhubung kematian seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam, Lans Koperal Muhammad Shakiran Shamsuddin, bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.

"Kita akan berikan bantuan kewangan dan proses mengenainya sedang dilakukan selain akan menyerahkannya dalam masa terdekat," katanya.

Muhammad Shakiran merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam bersama isterinya maut selepas motosikal yang ditunggangi melanggar sebuah lori di Jalan Syed Putra menghala pusat bandar, Kuala Lumpur semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis, isteri maut kemalangan

Artikel Berkaitan:

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC datang dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar telah melanggar bahagian kiri belakang sebuah lori yang sedang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.

Keadaan itu menyebabkan mangsa cedera parah sebelum disahkan maut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Noor Azam menyaksikan penyerahan barang kes pelbagai jenis dadah seberat 143,240 kilogram yang akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Sendayan di sini hari ini dengan nilai rampasan RM7.3 bilion dari tahun 2003 hingga 2017.