Anggota polis, isteri maut kemalangan

Nurul Ashikin dan Muhammad Shakiran
Nurul Ashikin dan Muhammad Shakiran
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis dan isterinya maut selepas motosikal yang ditunggangi melanggar sebuah lori di Jalan Syed Putra menghala pusat bandar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.59 pagi itu, mangsa yang maut adalah Lans Koperal Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, dan Nurul Ashikin Kamaruddin, 27.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC datang dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar telah melanggar bahagian kiri belakang sebuah lori yang sedang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.

"Ketika kejadian, mangsa menunggang di lorong kiri sebelum mengubah haluan ke lorong tengah.

"Mangsa bagaimanapun gagal mengelak dan melanggar lori terbabit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa (Nurul Ashikin) cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Katanya, Muhammad Shakiran pula parah di bahagian perut dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi.

"Siasatan masih dijalankan termasuk mengesan pemandu lori terbabit. Setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada pemandu terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel Berkaitan:


Muhammad Shakiran merupakan anggota yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam manakala isterinya adalah penjawat awam di Jabatan Kerja Raya.