Jangan sesekali khianati bangsa, negara: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin bergambar bersama 40 Pegawai Muda dari UniMAP.
Tuanku Syed Faizuddin bergambar bersama 40 Pegawai Muda dari UniMAP.
A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan pihak berkuasa keselamatan termasuk tentera tidak sesekali mengkhianati bangsa dan negara serta menjaga kredibiliti dan memelihara integriti bagi memastikan tonggak pertahanan negara tidak dipertikaikan.

Baginda bertitah, baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kegiatan pembolosan penyeludupan rentas sempadan Malaysia-Thailand oleh kumpulan dipercayai sindiket di Padang Besar.

"Sungguhpun rakaman ini difahamkan diambil bukan dalam tempoh terdekat ini, namun ia sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap imej dan integriti anggota penguat kuasa dan anggota keselamatan negara berikutan segelintir pihak yang bersikap mementingkan diri," titah baginda.

Baginda turut berharap dalang yang berjaya dikenal pasti akan dikenakan tindakan undang-undang setimpal dan diheret ke muka pengadilan.

Baginda bertitah ketika berangkat menyempurnakan Majlis Santapan Malam Rejimental Ke-12 Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Tahun 2019 di TH Hotel Alor Setar baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pemangku Timbalan Komandan Palapes UniMAP, Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad dan isteri.

Artikel Berkaitan:

Majlis berkenaan dianjurkan bagi meraikan 40 Pegawai Muda dari UniMAP yang telah ditauliahkan di Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet Palapes UA Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia pada Ogos yang lalu.